SEREMBAN: Seorang lelaki ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan selepas dipercayai mengemukakan penyata pendapatan palsu kepada sebuah pejabat kebajikan di daerah ini.
Majistret, Naziah Mohd. Alias membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman lelaki berusia 39 tahun itu bermula hari ini sehingga 18 Mac depan di Mahkamah Majistret Seremban hari ini.
Menurut sumber, lelaki itu dipercayai mengemukakan penyata pendapatan palsu kepada sebuah pejabat kebajikan di daerah Seremban bagi mendapatkan bantuan elaun pekerja cacat (EPC) atau Elaun Pekerja Kurang Upaya (EPOKU) sedangkan gaji sebenarnya melebihi daripada syarat kelayakan yang ditetapkan.
“Suspek yang kini tidak bekerja dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2013 hingga 2022 bagi mendapatkan bantuan EPC/EPOKU sebanyak RM300 hingga RM450 sebulan,” katanya.
Terdahulu, suspek telah ditahan pada pukul 12 tengah hari semalam di pejabat SPRM Negeri Sembilan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki tersebut berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.-UTUSAN.