TANAH MERAH: Seorang lelaki bertindak melarikan diri dengan meninggalkan sebuan van yang membawa syabu bernilai RM17.9 juta di Jalan Wan Ahmad di sini, selepas aktiviti itu berjaya di kesan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu, kelmarin.
Dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, anggota Batalion 9 Kuala Terengganu yang melakukan rondaan rutin telah mengesan sebuah van jenis Nissan Vanette berada dalam keadaan mencurigakan.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azman Ayob berkata, anggota bertugas kemudian telah bertindak melakukan pemeriksaan dan mendapati seorang lelaki telah bertindak melarikan diri ke arah semak berhampiran lokasi.
Menurutnya, suspek bertindak meninggalkan van tersebut tanpa sempat mematikan enjin dipercayai terkejut dengan kehadiran anggota PGA.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas van berkenaan telah menemukan 13 guni pitih yang mengandungi 499 peket plastik yang bertulis ‘Guan Yin Wang’ seberat 499 kilogram yang disyaki syabu di bahagian belakang,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di sini hari ini.
Azman memberitahu , hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati van tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu serta terdapat gangguan terhadap nombor chasis dan enjin.
Katanya, kenderaan serta kesemua barangan dirampas dan kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Hasil rampasan dadah ini didapati boleh digunakan oleh seramai lebih 4.9 juta penagih dadah.
“Kami percaya bekalan dadah ini diperoleh dari negara jiran untuk pasaran ke Lembah Klang,” ujarnya.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Azman berkata, sepanjang tempoh Januari sehingga semalam, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan telah berjaya menahan seramai 4,240 orang atas pelbagai kesalahan dan rampasan dadah yang bernilai anggaran lebih RM37 juta.
Katanya, sepanjang tempoh berkenaan, pihaknya berjaya merampas empat senjata api di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.
“Sepanjang tempoh itu juga, kita berjaya menyita harta di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 bernilai lebih RM1.1 juta.
“Kita akan sentiasa berusaha mengekang kes pengedaran dadah selain mengharapkan kerjasama masyarakat setempat untuk menyalurkan maklumat terus ke talian JSJN di talian 012-2087222,” katanya.-UTUSAN