KUANTAN: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik tiga ahli Dewan Negara dalam kalangan kepimpinan persatuan pengguna di negara ini.
Presiden YPNM, Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, sejak merdeka, belum ada mana-mana kepimpinan gerakan persatuan pengguna dilantik sebagai ahli Dewan Negara.
“Terdapat lapan hak pengguna yang perlu diutamakan iaitu hak mendapatkan keperluan asas, hak mendapatkan maklumat, hak mendapatkan barangan dan perkhidmatan yang selamat, hak menyuarakan pendapat, hak pendidikan pengguna, hak membuat pilihan, hak mendapatkan ganti rugi dan hak mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat.
“Isu-isu hak pengguna ini kurang mendapat perhatian di Dewan Negara dan Parlimen untuk kerajaan mengambil lan gkah-langkah untuk membantu menangani isu-isu kepenggunaan di peringkat Parlimen.
“YPNM percaya dengan reformasi yang dibawa Perdana Menteri akan memberi ruang kepada pejuang-pejuang hak pengguna menyuarakan segala isu dan memberi pandangan melibatkan pengguna.
“Salah satu hak pengguna iaitu hak menyuarakan pendapat, perlu diberi ruang yang secukupnya supaya suara pengguna didengari di Dewan Negara dan Parlimen,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN