JEMPOL: Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) menafikan sebuah laluan pejalan kaki yang terletak berhampiran Stesen Keretapi Bahau di sini yang sering digunakan orang ramai dibiarkan tanpa penyelenggaraan.
Yang Dipertua MPJL, Raja Norazli Raja Nordin sebaliknya menjelaskan, lokasi tersebut kini menjadi kurang tumpuan serta bukan lagi menjadi laluan utama pejalan kaki selepas pemindahan Stesen Keretapi Bahau ke satu lokasi baharu yang berhampiran.
“Pihak MPJL telah memohon peruntukan pada awal tahun 2023 kepada Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memandangkan terdapat beberapa keutamaan semasa yang harus didahului bagi memberi manfaat secara langsung kepada pengguna dan masyarakat setempat.
“Untuk rekod, bagi tahun 2022 sebanyak RM 2.913 juta telah diterima daripada kerajaan Persekutuan manakala RM 21.34 juta diterima daripada kerajaan negeri yang memberi fokus utama dalam menyelesaikan isu permasalahan rakyat secara langsung.
“Antaranya projek berkaitan tebatan banjir, penempatan semula penjaja, penstabilan dan pengukuhan cerun dan projek-projek melibatkan jalan serta longkang yang sering digunakan oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sejak semalam, tular di media sosial TikTok apabila seorang pengguna aplikasi itu memaparkan keadaan sebuah laluan pejalan kaki dari Stesen Keretapi Bahau menuju ke Stesen Bas Bahau yang mengalami kerosakan di bahagian bumbung dan didakwa tidak dibaiki sejak empat tahun lalu.-UTUSAN.