GUA MUSANG: Kerajaan perlu merangka strategi berkesan dengan mengurangkan pengimportan makanan sebaliknya meningkatkan daya pengeluaran dalam negara bagi mengawal isu kenaikan harga barangan dan keperluan harian yang sedang membelenggu rakyat ketika ini.
Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, pengeluaran makanan dalam negara rendah dan terlalu bergantung dengan import boleh memberikan kesan tidak baik kepada negara.
“Segala barang makanan diimport dari luar termasuklah bawang, lada, kobis dan sebagainya. Hasil makanan tak dikeluarkan dengan cukup dalam negara, maka kita akan berdepan dengan harga barang yang tinggi.
“Sebab itu kita mesti ada cara untuk mengawal keadaan ini dan itu adalah dengan mengawal import dan meningkatkan daya pengeluaran negara. Satu perkara lagi, apabila ringgit kerap ditukar dengan mata wang asing, permintaan terhadap nilai mata wang kita akan menjadi rendah,” katanya kepada pemberita selepas Program Amanat Ku Li di Bukit Cekati di sini hari ini.
Tengku Razaleigh memberitahu, pada bulan lepas beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi bertukar idea serta pandangan tentang keadaan ekonomi semasa negara.
“Saya sudah cadangkan apa yang perlu dibuat. Saya rasa dalam masa enam bulan sehingga setahun ringgit kita akan naik dan kemungkinan hutang negara akan berkurang.
“Saya yakin banyak usaha yang boleh dilakukan dan kalau ini semua dapat dilaksanakan hutang negara akan turun dan nilai ringgit kita akan naik jika langkah berkesan dapat dilakukan,” ujarnya.
Tengku Razaleigh berkata, beliau juga bersimpati dengan rakyat yang masih terbeban dengan kos sara hidup tinggi ketika ini.
Katanya, kerajaan tidak boleh berlengah dan harus melakukan usaha bagi membantu rakyat yang terjejas.
“Orang yang ada duit tak apalah, orang yang tak ada duit akan menghadapi masalah. Harga ikan naik kerana kos pengangkutan pun tinggi dan sebagainya.
“Jadi masalah itu akan dirasai semua banyak pihak rakyat seluruhnya jika kerajaan tidak mencari jalan keluar,” katanya.-UTUSAN