KOTA BHARU : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang berusaha menangani masalah kekurangan guru dalam empat mata pelajaran iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, pendidikan Islam dan Reka Bentuk dan Teknologi (RBT).
Ketua Pengarahnya Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, perbincangan telah diadakan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran untuk membuat pengambilan melalui beberapa kaedah yang dicadangkan.
“Insya Allah dalam masa terdekat kita akan buat proses pengambilan dan tawaran untuk guru-guru yang berjaya secara berfasa. Masalah kekurangan guru yang sedang kita hadapi akan ditangani secara berperingkat.
“Isu ini tidak dapat diselesaikan dalam masa terlalu singkat, namun mungkin dalam tempoh satu atau dua tahun lagi keadaan akan kembali normal,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau perjalanan minggu pertama persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa, di sini hari ini.
Pkharuddin memberitahu, perbincangan bersama Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) juga telah dibuat untuk meningkatkan pengambilan pelajar dalam empat bidang terbabit.
Dalam perkembangan lain Pkharuddin berkata, sistem pendidikan di negara ini perlu berlaku dalam tempoh 190 hari dan telah jelas dinyatakan dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
Katanya, KPM amat memahami hasrat ibu bapa dan sebahagian guru yang menginginkan suasana pembelajaran bermula pada Januari atas faktor tertentu.
“Kita merasakan kedua-duanya mempunyai kelebihan. Permulaan penggal persekolahan pada bulan Mac boleh mengelakkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada berlaku pada musim Monsun Timur Laut dan tempoh menunggu untuk memasuki institusi pengajian tinggi tidak terlalu panjang.
“Bagaimanapun KPM tetap berusaha melihat ruang dan peluang agar tempoh penggal persekolahan diawalkan sedikit yang mana ia mungkin akan mengambil sedikit masa dan ruang. Kalau kita nak awalkan lagi mungkin perlu korbankan cuti sedangkan cuti juga penting bagi memberi ruang rehat kepada pelajar, ibu bapa dan guru. Jadi kita tidak boleh meniadakan cuti. Cuma mungkin masa cuti dipendekkan sedikit,” ujarnya.
Pkharuddin berkata, KPM akan sentiasa mengkaji serta mencari ruang dan peluang untuk memperkemaskan lagi perkara ini mengikut kesesuaian.-UTUSAN