Kereta jadi stor dadah, 70 ketulan ganja dirampas - Utusan Malaysia

Kereta jadi stor dadah, 70 ketulan ganja dirampas

ISMAIL DOLLAH (dua dari kiri) menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas daripada seorang lelaki di Yong Peng, Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Taktik seorang lelaki menjadikan kereta sebagai stor dadah akhirnya berjaya dihidu polis apabila dia diberkas di Pekan Yong Peng, dekat sini kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, dalam serbuan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman kira-kira pukul 8.30 malam itu, pihaknya turut merampas dadah jenis ganja yang dijadikan 70 ketulan mampat seberat 63.12 kilogram. 

Menurutnya, ganja itu dianggarkan bernilai RM157,800 dan boleh digunakan oleh 31,560 penagih. 

“Turut dirampas sebuah kereta Naza Ria bernilai RM10,000 yang digunakan sebagai tempat menyimpan dadah tersebut sebelum diedarkan secara kecil-kecilan di sekitar Batu Pahat dan beberapa daerah lain di negeri ini.

“Walau bagaimanapun, suspek yang bekerja di bengkel kereta serta sudah berkeluarga itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau selain ujian air kencing negatif dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Batu Pahat hari ini. 

Ismail berkata, suspek dipercayai telah aktif melakukan kegiatan berkenaan sejak awal bulan ini dan dadah terbabit dipercayai dibawa masuk dari Thailand. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Suspek kini ditahan reman selama enam hari hingga 1 April ini untuk siasatan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya