Kerajaan pastikan pelajar dapat mulakan sesi persekolahan Ahad ini - Utusan Malaysia

Kerajaan pastikan pelajar dapat mulakan sesi persekolahan Ahad ini

AHMAD ZAHID HAMIDI menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang penerima bagi Program Transformasi Kualiti Produk (PTKP) sempena lawatan kerja ke Kejora, Bandar Penawar, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan mengkoordinasikan permasalahan pasca banjir bagi memastikan para pelajar di kawasan terjejas akibat bencana itu dapat memulakan sesi persekolahan 2023 yang bermula Ahad ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, koordinasi itu akan dilaksanakan bagi memastikan 17 sekolah yang terjejas akibat banjir di negeri ini dapat memulakan sesi persekolahan meskipun dalam keadaan kurang kondusif.

Menurutnya, Jawatankuasa Bencana Negara akan bekerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan beberapa agensi lain untuk menyelesaikan masalah yang ada di kawasan berkenaan dengan segera.

“Perkara ini telah kita bincangkan di peringkat Jawatankuasa Teknikal Bencana Negara. Jadi, permasalahan yang timbul di mana-mana kawasan banjir seluruh negara inilah pasca banjir ramai yang nak membantu ketika banjir, tetapi pasca banjir banyak lagi.

“Bagi 17 buah sekolah ini biarpun hanya menggunakan premis-premis sementara tetapi koordinasi akan dilakukan tentunya dengan Nadma, APM dan beberapa agensi lain bersama-sama Jawatankuasa Bencana peringkat negeri dan daerah.

“Yang penting murid-murid dan pelajar-pelajar boleh terus belajar walaupun mungkin tidak terlalu kondusif keadaannya tetapi kita akan ikhtiarkan supaya dapat diselesaikan segera,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Bandar Tenggara, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani dan Pengurus Besar Kejora, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, Kementerian Pendidikan akan menyegerakan peruntukan untuk membolehkan kerja-kerja membaik pulih 17 sekolah di Johor yang terjejas akibat banjir dapat diselesaikan sebelum 19 Mac ini.

Setakat pukul 12 tengah hari tadi,  jumlah mangsa banjir di Johor seramai 42,706 orang melibatkan 12,047 keluarga yang ditempatkan di 152 pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat, Batu Pahat, Muar dan Tangkak.

Jumlah itu meningkat sedikit berbanding 42,638 mangsa daripada 12,049 keluarga yang direkodkan pada pukul 8 pagi tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya