Jurutera 5G tawar bertanding Ketua UMNO Bahagian Jerantut - Utusan Malaysia

Jurutera 5G tawar bertanding Ketua UMNO Bahagian Jerantut

AHMAD MURAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Tokoh belia dan jurutera, Ahmad Murad Idris, 51, antara muka baharu menawarkan diri sebagai calon bertanding pada pemilihan Ketua Bahagian UMNO Jerantut sesi 2023-2026 pertengahan bulan ini.

Penampilan Ahmad Murad yang sudah lama dikenali ramai dalam kalangan ahli UMNO merupakan antara pesaing bagi empat penjuru merebut Ketua UMNO Bahagian di sini, iaitu seorang peguam, Haris Salleh Hamzah yang juga Bendahari UMNO, Datuk Mohd. Taufek Abd. Razak yang juga penyandang ahli jawatankuasa (AJK) bahagian dan pengamal undang-undang dan pegawai khas kepada bekas Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris, Adzlan Zakaria.

Menurut Ahmad Murad, beliau mahu mengukuhkan kembali perpaduan dalam kalangan ahli UMNO yang tidak sekata dalam pengurusan dan mencongak strategi parti antara faktor Parlimen Jerantut dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) mengalami tsunami kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-5 (PRU15) lalu.

“Jika dipilih, saya dan rakan dalam saf jawatankuasa bahagian akan membuat perubahan serta pembaharuan lebih progresif dalam pengurusan parti dan mengambilkira pandangan semua ahli UMNO.

“Kita akan mewujudkan pendekatan perhubungan yang lebih rapat dengan ketua cawangan serta penduduk dengan mendengar denyut masalah dalaman parti UMNO bahagian ini sendiri termasuk aspek kebajikan dan sebagainya,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Murad yang merupakan lulusan Ijazah Kejuruteraan Telekomunikasi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan kini bertugas sebagai Ketua Projek Infrastruktur 5G kawasan Pantai Timur berkata, beliau mahu memaksimumkan semula kerja parti dengan meningkatkan komitmen dan kerjasama ahli jawatankuasa bahagian ini termasuk sayap UMNO.

Justeru, beliau berkata, hasratnya untuk menerajui ketua bahagian dengan kerjasama ahli jawatankuasa bahagian yang dipilih nanti menerusi kepimpinan yang berkualiti dengan mendengar setiap masalah ahli parti serta adil dalam membuat keputusan.

“Saya cakna dan faham apa yang dialami oleh ahli jawatankuasa termasuk sayap bahagian sebelum ini dan mahu menyelesaikan serta membetulkan permasalahan dan jurang persefahaman semua pihak sebelum tempoh PRU16 akan datang.

“Selain itu, antara agenda saya, iaitu menyusun program untuk golongan muda dalam bidang pembangunan jati diri, patriotisme khususnya tawaduk dengan mencintai parti keramat Melayu berasaskan sejarah antara penyumbang terbesar pembangunan negara,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Cawangan UMNO Pulau Mansok di sini menambah, kekalahan BN Jerantut pada PRU15 antaranya kerana tiada persediaan yang rapi dan teliti dalam mendekati pengundi terutama golongan muda.

“Pemantapan UMNO Bahagian Jerantut juga mengambilkira pandangan ‘senior’ dan ‘otai’ yang menyerahkan kepimpinan kepada golongan muda supaya Barisan Nasional (BN) dan UMNO mendapat kepercayaan semula penduduk di Jerantut serta selesa menawan semula kerusi yang tewas pada PRU15 lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya