JOHOR BAHRU: Seramai 3,497 mangsa lagi daripada 990 keluarga terpaksa dipindahkan apabila banjir terus melanda di kesemua 10 daerah di negeri ini setakat pukul 12 tengah hari tadi.
Jumlah itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa banjir meningkat kepada 46,742 mangsa daripada 13,552 keluarga di 264 pusat pemindahan sementara (PPS), menurut maklumat terkini oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, angka itu terus melonjak apabila bilangan mangsa di Batu Pahat meningkat lebih dua kali ganda daripada 7,830 mangsa semalam, menjadi 15,915 orang daripada 4,616 keluarga di 62 PPS dalam tempoh yang sama.
“Selain Batu Pahat, turut mencatatkan jumlah mangsa yang ramai ialah Segamat dengan 13,319 mangsa daripada 3,895 keluarga, diikuti Kluang dengan 5,270 mangsa, Muar (4,103), Kota Tinggi (3,249) dan Tangkak (3,007).
“Sementara itu, empat daerah lain merekodkan jumlah mangsa di bawah 1,000 penduduk, iaitu Mersing (975), Johor Bahru (511), Pontian (330) dan Kulai (63),” katanya.
Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memberitahu, jumlah korban banjir di negeri ini kekal seramai empat orang, iaitu satu kes di Kluang dan tiga di Segamat.
Laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menunjukkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.
Sebanyak 20 sungai di tujuh daerah berada pada paras berbahaya, antaranya Sungai Gemas, Sungai Muar, Sungai Tangkak, Sungai Kesang, Sungai Bekok, Sungai Kahang dan Sungai Johor.
Sebanyak 51 laluan dan susur telah ditutup untuk semua jenis kenderaan di negeri ini disebabkan air lintas, hakisan cerun, berarus dan kerosakan jalan, katanya. – UTUSAN