JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus mencatatkan peningkatan menjadi 37,528 orang daripada 10,792 keluarga ditempatkan di 240 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 12 tengah hari ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah itu meningkat berbanding 37,322 orang daripada 10,793 keluarga ditempatkan di 238 PPS pada pukul 8 pagi tadi.
Beliau berkata, Segamat masih menjadi daerah paling terjejas yang menempatkan 12,900 mangsa daripada 3,783 keluarga, diikuti Batu Pahat dengan 7,830 mangsa, Kluang (5,283) dan Kota Tinggi (3,283).
“Turut terjejas ialah Muar (3,278), Tangkak (2,661), Mersing (964), Johor Bahru (699) dan Pontian (358). Enam PPS yang dibuka di Kulai sebelum ini sudah ditutup sejak semalam setelah daerah itu pulih daripada banjir sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memberitahu, jumlah mangsa korban akibat banjir di negeri ini seramai empat orang, iaitu satu kes di Kluang dan tiga di Segamat.
Laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menunjukkan sebahagian besar negeri ini berada di bawah amaran hujan berterusan, manakala Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian pula menunjukkan amaran waspada.
Sebanyak 16 sungai sudah mencatatkan paras bahaya di enam daerah dengan Batu Pahat melibatkan lima sungai, Segamat (empat), Muar (tiga); Kota Tinggi (dua) dan Kluang (satu).
Sebanyak 77 jalan terjejas akibat banjir, iaitu 28 jalan di Kota Tinggi, Segamat (23), Kluang (11), Mersing (enam), Batu Pahat (enam), Tangkak (dua) dan Johor Bahru (satu). – UTUSAN