KUANTAN: Cubaan sindiket penyeludupan rokok putih yang dianggarkan berjumlah kira-kira dua juta batang dengan nilai keseluruhan RM1.58 juta, berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang, 20 Februari lalu.
Hasil maklumat awam, sebuah lori ‘bonded’ ditahan di Kilometer 220.5, Lebuhraya Pantai Timur (Arah barat) di Gambang, kira-kira pukul 9 pagi.
Pengarah JKDM Pahang, Wan Apandi Wan Hassan berkata, ketika ditahan, pemandu lori terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Pantai Timur ke Pantai Barat bertindak melarikan diri ke seberang jalan dengan meninggalkan kenderaan tersebut di bahu jalan lebuhraya.
“Hasil pemeriksaan fizikal di tempat mendapati muatan yang dibawa adalah rokok yang disyaki barang larangan import. Sebanyak 102,000 karton rokok dengan jumlah keseluruhan 2.04 juta batang dirampas dalam penahanan tersebut.
“Nilai rampasan termasuk kenderaan dianggarkan RM163,200 manakala jumlah duti atau cukai yang terlibat dianggarkan RM1.36 juta dan kesemua barang rampasan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Kuantan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Apandi berkata, modus operandi kes yang menggunakan lori ‘bonded’ itu dengan bergerak aktif pada waktu malam sehingga ke awal pagi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Jelasnya, siasatan awal mendapati kes ini disyaki dilakukan sindiket penyeludupan rokok menggunakan laluan Lebuhraya Pantai Timur bagi tujuan pengedarannya di kawasan-kawasan Pantai Barat.
“Kes ini disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak kurang daripada sepuluh (10) kali ganda nilai barang atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi); sehingga tidak lebih daripada dua puluh (20) kali ganda nilai barang atau RM500,000 (yang mana lebih tinggi); atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah hanya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sebarang maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan boleh disalurkan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri dan pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan. – UTUSAN