Jiran terkilan, tidak sangka ada mangsa

Jiran terkilan, tidak sangka ada mangsa

ZULKIFFLI MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: “Puas saya jerit memang­gil sesiapa yang berada dalam rumah, namun panggilan itu tidak berjawab dan menyangkakan rumah ini kosong dengan semua penghuninya keluar.”

Demikian cerita Zulkiffli Mat, 44, salah seorang penduduk yang juga saksi awal kebakaran sebuah rumah mengorbankan empat beradik di Kampung Sabar Awor, Jalan Ismail, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, katanya, apabila ibu mangsa, Nabila Sedu, 31, tiba, dia terus meraung kerana semua anaknya iaitu Puteri Aisyah Thein Ko Htut, 8, Mohd. Hakim, 6, Mustakim, 4, dan Fatihah Aisyah, 3, berada di dalam rumah.

BERBUKA

Zulkiffli menyedari kebakaran itu ketika berada di halaman rumahnya sebaik sahaja selesai berbuka puasa.

“Saya duduk luar seorang diri lepas berbuka, mahu ambil angin sebelum solat maghrib. Saya pe­rasan asap berkepul dari arah hadapan lebih kurang 20 meter dari rumah saya. Kemudian, lampu jalan di kawasan itu juga mula berkelip dan saya mula rasa tidak sedap hati, saya capai kunci motosikal dan ke rumah berkenaan.

“Sebaik sahaja tiba, saya lihat api sudah mula marak memusnahkan hampir separuh kediaman. Saya hubungi bomba sambil membantu padamkan kebakaran menggunakan sumber air berhampiran,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

KEADAAN rumah yang terbakar sehingga mengorbankan empat beradik di Kampung Sabak Awor, Jalan Ismail, Muar.

Pada masa sama, Zulkiffli berusaha memanggil penghuni dalam kediaman itu kerana bimbang jika ada yang terperangkap.

SENYAP

“Saya dekati rumah mereka sambil menjerit di ruang hadapan, kemudian ke sebelah bilik tidur dan pusing sehingga ke dapur memanggil penghuni di dalam. Namun senyap tidak berjawab. Beberapa kali juga saya jerit tanya ada sesiapakah di dalam.

“Melihat kereta jenis Perodua Kancil yang digunakan keluarga ini tiada di pekarangan rumah, maka saya beranggapan ke­semua penghuni keluar.

“Namun, sebaik sahaja ibu mangsa sampai, dia terus berlari mendekati rumah dan beritahu anaknya tidak ikut bersama. Masa itu saya dan beberapa jiran lain yang mulai datang terus pa­nik kerana kesemua kanak-kanak itu juga tiada bersama kami.

“Masa itu Allah sahaja yang tahu perasaan saya. Meskipun tidak begitu rapat, namun kelibat mereka sudah biasa di sekitar kawasan ini sebab selalu main di luar bersama.

“Dalam hati ada rasa terkilan sebab tak sangka terdapat mang­sa dalam rumah itu. Jika saya tahu mereka di dalam, saya nekad ajak jiran tetangga lain pecahkan tingkap atau dinding usaha cari adik-beradik tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya