SHAH ALAM: Pemilik gedung tekstil, Jakel dibenarkan untuk beroperasi dekat sebuah tapak di kawasan berhampiran premis asalnya yang terbakar pada awal Januari lalu dekat Seksyen 7, di sini.
Situasi tersebut turut membenarkan orang ramai membuat persiapan membeli-belah dekat gedung tekstil terkenal itu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Cheremi Tarman, kebenaran tersebut diberi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selepas diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat baru-baru ini.
“MBSA meluluskan permohonan pihak Jakel untuk kembali beroperasi seperti biasa di bawah khemah besar di tapak sementara di Seksyen 7 di sini.
Jakel dibenarkan berniaga bermula tidak lama lagi sebelum Ramadan hingga berakhir dua tahun kemudian,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran Sistem ePenjaja MBSA dan Kempen Pelitup Muka Sempena Penyampaian Permit Bazar Ramadan 2023, hari ini.
Pada 1 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan sepasukan dari tujuh balai bomba dikerah bagi operasi memadam kebakaran yang memusnahkan lot lima dan tiga tingkat Wisma Jakel di Jalan Plumbum, Seksyen 7 di sini.
Dalam pada itu, Cheremi memaklumkan kebenaran tersebut diberi susulan Jakel Shah Alam menjadi tumpuan ramai penduduk termasuk dari kawasan sekitarnya untuk datang ke bandar raya ini membeli-belah.
Mengulas mengenai arahan pemakaian pelitup muka dalam kalangan peniaga, pihaknya memberi peluang kepada peniaga untuk berbuat demikian selama enam bulan bermula Januari tahun ini.
“Peniaga bazar Ramadan juga digalakkan untuk memakai pelitup muka sepanjang operasi Bazar Ramadan tahun ini bagi mengelakkan penularan wabak seperti Covid-19.
“Sebanyak 1,204 peniaga beroperasi di 25 Bazar Ramadan tahun ini. Kita juga mengalu-alukan orang ramai untuk memakai pelitup muka semasa membeli-belah di Bazar Ramadan,” jelasnya. – UTUSAN