Inkues 'Baby Syifaa': Ada kesan darah pada kain buaian - Utusan Malaysia

Inkues ‘Baby Syifaa’: Ada kesan darah pada kain buaian

NURUL Hamizai Abdul Hamid hadir sebagai saksi ke-22 pada prosiding inkues menentukan punca kematian Nour Rania Asyifaa yang berlangsung di Mahkamah Koroner Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang ahli kimia memaklumkan kepada Mahkamah Koroner Seremban hari ini, terdapat kesan darah pada kain buaian yang digunakan oleh Nour Rania Asyifaa Yuseri atau ‘Baby Syifaa’ pada hari kejadian, 22 Februari 2022.

Saksi ke-22, Nurul Hamizai Abdul Hamid, 39, yang bertugas sebagai ahli kimia di Bahagian asid deoksiribonukleik (DNA) Forensik Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya berkata, penemuan itu berdasarkan keputusan ujian DNA dan penelitian secara keseluruhan ke atas kain buaian.

“Kesan darah itu ‘smear’ sangat kecil dianggarkan berdiameter lima milimeter (mm) di bahagian kepala kain buaian. Bagi ekshibit (barang kes) lain iaitu pakaian mangsa dan permaidani (diambil dari taska) tidak menunjukkan kehadiran kesan darah,” katanya pada prosiding inkues hari keenam hari ini.

Menurut Nurul Hamizai, hasil keputusan makmal mendapati DNA pada kesan darah itu sepadan dengan profil DNA Nour Rania Asyifaa.

Nurul Hamizai berkata, beliau juga hanya mengetahui kain buaian itu telah dibasuh sebelum dihantar ke makmal ketika memberi keterangan hari ini di hadapan Koroner, Datin Surita Budin.

Ketika disoal oleh Pegawai Pengendali inkues, Zahida Zakaria, adakah DNA boleh termusnah atau menyusut sekiranya dibasuh, Nurul Hamizai berkata, ia bergantung pada cara basuhan sama ada kesan darah itu masih dapat dikesan atau tidak.

“Sekiranya dibasuh secara ala kadar, kesannya (darah) masih boleh kelihatan,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Hamizai memaklumkan, terdapat penemuan kromosom XY sekurang-kurangnya tiga individu yang tidak mempunyai kaitan kekeluargaan pada pakaian Nour Rania Asyifaa yang diperoleh daripada keputusan DNA surih.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat memastikan siapa pemilik DNA itu kerana profil DNA telah bercampur tetapi bersetuju terdapat kesan kromosom lelaki.

“DNA setiap individu adalah berbeza kecuali kembar seiras dan ketepatannya adalah 99.99 peratus,” katanya. 

Pada prosiding yang bersambung pada pukul 2.30 petang, saksi seterusnya pemilik dan pengasuh kedua taska, Nadzirah Ahmad Damanhuri, 30, telah dipanggil semula memberi keterangan bagi mengesahkan video simulasi pada hari kejadian.

Nadzirah memberitahu, dia tidak diarahkan oleh kakaknya yang juga pengasuh Nour Rania Asyifaa, Khairulnisa Ahmad Damanhuri, 38, untuk membasuh kain buaian itu sebaliknya ia adalah rutin harian pembersihan.

Nadzirah turut tidak bersetuju dengan cadangan peguam pemerhati keluarga ‘Baby Syifaa’, Gaithri Thomas yang mendakwa tindakannya membasuh kain buaian tersebut untuk menghapuskan kesan darah.

Peguam Hafiz Norkhan yang mewakili keluarga bayi itu turut mempersoalkan sama ada Nadzirah nampak kesan darah pada kain buaian tersebut ketika membasuhnya. 

“Saya tidak nampak apa-apa kesan darah kerana saya rabun dan tidak memakai cermin mata pada waktu itu,” katanya. 

Nadzirah malah memberitahu, polis yang datang ke premis taska membuat siasatan pada hari kejadian tidak bertanya berkenaan kain buaian itu yang masih lembap kerana telah dibasuh.

Turut hadir peguam pemerhati pihak pengasuh, S. Kavitha.

Mahkamah kemudian menetapkan prosiding inkues bagi menentukan punca kematian ‘Baby Syifaa’ itu bersambung pada 2 Ogos, 3 Ogos, 29 Ogos, 18 September dan 19 Sepfember depan.

Seramai empat saksi lagi akan dipanggil iaitu bapa mangsa, Yuseri Yusoff, 39, ibu mangsa, Anida Idrus, 42, pegawai penyiasat, Inspektor M.Thinagaran dan pengasuh ‘Baby Syifaa’, Khairulnisa.

Sebelum ini, media melaporkan, Nour Rania Asyifaa, 15 bulan, ditemui tidak sedarkan diri di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.

Pada 30 Mac 2022, bapa bayi itu, Yuseri Yusoff mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya