JEMPOL: Demi menggembirakan anak sulungnya yang memasuki tahun satu bagi sesi persekolahan kali ini, seorang ibu sanggup untuk memakai kostum watak kartun Doraemon bagi menghantar anaknya ke sekolah pagi tadi.
Nurulazma Shafiqah Khairul Azhar, 32, berkata, selain untuk anaknya, Nur Dhia Imani Norazli, 7, dia juga sememangnya berhasrat menggembirakan kira-kira 200 orang murid yang menghadiri hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Serting Ilir di sini.
Menurutnya yang berasal dari Kampung Serting Ilir, dia tidak kisah memakai kostum itu malah anaknya juga sebenarnya sudah biasa melihat dirinya dalam keadaan sebegitu.
“Kostum Doraemon ini saya beli sejak lima tahun lalu, sebelum ini ia digunakan untuk menyambut pengunjung gerai makanan di Homestay Lonek. Kali ini saya pakai untuk menghiburkan anak saya malah seluruh warga sekolah.
“Anak tidaklah terkejut apabila melihat saya memakai kostum ini namun sedikit lucu apabila dia memberitahu Doraemon tidak pernah memandu kereta.
“Apabila sampai di sekolah dia pun tidak kisah berjalan bersama malah dia kelihatan teruja kerana dihantar Doraemon ke sekolah,” katanya hari ini.
Nurulazma Shafiqah yang merupakan bekas wartawan sambilan Utusan Malaysia berkata, murid-murid sekolah juga gembira kerana saya turut membawa bungkusan coklat yang merupakan sumbangan daripada pemimpin masyarakat setempat.
“Alhamdulillah, pihak sekolah juga menyambut baik inisiatif ini yang sememangnya mahu memberikan kelainan dan menghiburkan murid-murid yang hadir ke sekolah terutamanya murid tahun satu,” katanya.-UTUSAN.