JOHOR BAHRU: Farmbyte Sdn. Bhd. (FarmByte), iaitu anak syarikat milik Kulim (Malaysia) Berhad (Kulim) mewujudkan hab makanan berlandaskan ekosistem mampan yang dipacu oleh teknologi baharu.
Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, Hab Makanan FarmByte diwujudkan bagi membina daya tahan sektor agro makanan, meningkatkan hasil pertanian serta taraf hidup pekebun dan masyarakat setempat.
Syed Mohamed yang juga Pengerusi FarmByte berkata, hab makanan yang baharu dilancarkan itu akan dapat mengukuhkan lagi rantaian bekalan makanan, sekali gus mewujudkan ekosistem agro makanan mampan yang akan menyumbang terhadap agenda keselamatan makanan, khususnya di negeri ini.
“Hab Makanan FarmByte akan membolehkan pengeluaran mampan produk agro makanan berkualiti tinggi dan bernilai tinggi. Menerusi pendigitalan dan inovasi akan membantu meningkatkan taraf hidup pekebun kecil di samping menggalakkan penyertaan generasi muda dalam sektor agro makanan.
“Ini adalah sebahagian penting dalam strategi kerajaan negeri untuk membangunkan industri agro makanan mampan yang boleh berdaya saing di peringkat antarabangsa dari segi pengeluaran dan kecekapan serta kualiti produk,” katanya pada Majlis Pelancaran Hab Makanan FarmByte di Ulu Tiram, dekat sini hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip selaku wakil rasmi Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Farmbyte dibangunkan bagi mentransformasikan sektor agro makanan Johor menerusi pendekatan yang mengutamakan digital sebagai sebahagian daripada visi JCorp untuk mengukuhkan keselamatan makanan di peringkat negeri dan kebangsaan.
Syed Mohamed berkata, Hab Makanan FarmByte merupakan ekosistem rangkaian penuh pekebun, pemproses, pengedar, peruncit dan pemborong yang dihubungkan melalui tetapan hibrid hab fizikal dan digital.
Had tersebut bertujuan menyepadukan semua aktiviti di seluruh rantaian nilai bermula dari pengeluaran hingga pengedaran, sekali gus mewujudkan sistem yang cekap, telus dan dipercayai.
“Untuk memenuhi jangkaan peningkatan dalam pengeluaran, Pusat Pembungkusan Pemprosesan Koleksi (CPPC) baharu dan dua Pusat Pengedaran Koleksi baharu akan dibina oleh FarmByte.
“FarmByte juga akan menggunakan teknologi inovatif bagi membantu pekebun memantau aktiviti pasaran dan jadual pengeluaran masa nyata bagi membolehkan mereka menavigasi sektor agro makanan dengan lancar dan mempercepatkan pertumbuhan mereka.
“Aplikasi mudah alih kami, sebagai contoh dapat menyediakan akses kepada pekebun menerusi khidmat nasihat secara peribadi dan analitik serta membantu mereka mengembangkan pengetahuan tentang amalan pertanian daripada pakar,” katanya. – UTUSAN