Guna lampu suluh beri amaran tak dilanggar kapal - Utusan Malaysia

Guna lampu suluh beri amaran tak dilanggar kapal

FATIMAH RAZAK (empat dari kanan) dan tiga kru bot PL87 disambut Wan Muhammad Aznan ketika tiba di Jeti Maritim Sungai Pulai, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Hanya berbekalkan lampu suluh, empat kru bot PL87 Jabatan Perikanan Negeri Johor memberi amaran kepada kapal pedagang supaya tidak melanggar mereka ketika hanyut di perairan antarabangsa.

Pegawai Pemerintah, Fatimah Razak bersyukur kerana mereka tidak mengalami sebarang insiden tidak diingini semasa hanyut ekoran enjin bot mengalami kerosakan.

“Pengalaman itu cukup sukar buat kami, namun ia tidak meninggalkan kesan atau alami trauma kerana ini sememangnya tugas kami,” kata ketika ditemui di Jeti Maritim Sungai Pulai, di sini.

Ketibaan Fatimah bersama-sama tiga kru yang lain, iaitu Zaharin Baharudin, 33; Abdul Halim Sanim, 52, dan Marzuki Jusuh, 53, disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan,Jabatan Perikanan, Wan Muhammad Aznan Abdullah.

Menceritakan kembali kejadian bot peronda PL87 Jabatan Perikanan Negeri Johor yang dilaporkan hilang kelmarin, Fatimah memberitahu, bot tersebut mengalami kerosakan enjin kira-kira pukul 3.30 petang ketika berada di perairan Singapura dan Indonesia.

Setelah semua alat komunikasi seperti radio, GPS dan telefon bimbit tidak berfungsi, mereka terpaksa menggunakan lampu suluh dan melambai-lambaikan tangan bagi menarik perhatian kapal dagang dan bot nelayan berhampiran.

“Ada beberapa bot nelayan Indonesia yang menghampiri kami cuba membantu, namun masalah kerosakan bateri itu tidak dapat atasi. Sebagai ketua kapal, saya pastikan semua anggota berada dalam keadaan tenang dan terkawal,” katanya.

Semalam, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hiazm Zakaria dilaporkan berkata, bot peronda PL87 yang dilaporkan hilang dalam perjalanan ke Pengkalan Tampoi, kelmarin ditemukan pada pukul 1.45 petang di Pulau Kepalajerih.

Dalam pada itu, Halim yang juga ‘engineman’ berkata, mereka tidak menyangka akan berlaku kerosakan enjin ketika bertolak dari Tanjung Pengelih ke Pengkalan Tampoi.

“Pada awalnya, destinasi perjalanan kami menuju ke Tanjung Sedili namun mendapat arahan untuk mengubah laluan berpatah balik ke Pengkalan Tampoi disebabkan cuaca di Pantai Timur tidak mengizinkan pada ketika itu.

“Ketika dalam perjalanan itu, enjin bot mengalami kerosakan setelah dilanda ombak lalu kami terpaksa menggantikan dengan bateri simpanan. Namun bateri gantian itu hanya bertahan selama tiga jam sebelum enjin mati semula,” katanya yang mempunyai pengalaman kerja selama 28 tahun. 

Sementara itu, Wan Muhammad Aznan menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terlibat yang menjalankan Op mencari dan menyelamat (Op Carilamat) termasuk pembabitan agensi penguat kuasa dari Singapura dan Indonesia.

“Saya bagi pihak Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, khususnya Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin serta agensi penguat kuasa negara jiran, operasi ini tidak akan berjalan lancar tanpa kerjasama semua pihak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya