KOTA BHARU: Pemain sayap lincah Kelantan FC Mohamad Fazrul Amir Md. Zaman atau Ghadar mahu rakan-rakan seperjuangannya bangkit dan melupakan kekalahan 5-1 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) lalu menjelang pertemuan Liga Super berdepan Kuala Lumpur City (KL City) di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Ghadar berkata, kesempatan beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh The Red Warriors (TRW) dengan meraih mata penuh pada perlawanan tersebut.
“Lawan KL City merupakan aksi terakhir di TRW kerana sepanjang bulan Ramadan, kami akan beraksi di gelanggang lawan.
“Jadi saya harap pemain ke-12 Kelantan FC dapat membanjiri stadium untuk memberikan sokongan kepada kami pada perlawanan itu nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ghadar memberitahu, kemampuan KL CIty tidak boleh diambil mudah oleh seluruh barisan pemain TRW.
Katanya, KL City merupakan sebuah pasukan yang lengkap di segenap posisi dan dia mahu rakan-rakan memberikan tumpuan sepenuhnya pada aksi itu nanti.
“Alhamdulillah, persiapan untuk perlawanan malam ini berjalan dengan baik. Rakan-rakan sepasukan menunjukkan moral yang tinggi sepanjang menjalani sesi latihan.
“Sebagai pemain, kami akan berusaha memberikan yang terbaik dengan mengikut secara percaturan jurulatih bagi memastikan TRW keluar sebagai pemenang,” ujarnya.-UTUSAN