FAMA bekal 150,000 biji telur ke seluruh Pahang minggu ini - Utusan Malaysia

FAMA bekal 150,000 biji telur ke seluruh Pahang minggu ini

ORANG ramai dan peruncit berbelanja telur ayam sempena program Jualan terus dari ladang di pusat Jualan Fama Bandar Jengka di Maran, Pahang. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang membekalkan sebanyak 150,000 telur ayam atau 5,000 papan gred A, B, C dan Omega ke seluruh negeri ini setiap minggu menerusi Program Jualan Terus Dari Ladang sepanjang bulan Ramadan ini untuk mengatasi kekurangan bekalan tersebut di pasaran.

Pengarah FAMA Pahang, Saiful Sadri, berkata, pihaknya sudah menghantar bekalan telur ayam ke Pusat Khidmat Pemasaran FAMA (PKPF) di Jerantut dan Kuantan bagi pengguna mendapatkan bekalan itu di pusat jualan Pasar Tani Kekal di setiap kawasan berdekatan.

“Hari ini, FAMA menghantar 60,000 biji telur ayam ke Pasar Tani Bandar Jengka untuk dibekalkan kepada pembeli dan peruncit dari kawasan Maran, Temerloh dan Jengka yang dikendalikan oleh PKPF Jerantut.

“Selain itu, bekalan turut dihantar Pasar Tani kekal (PTK) Pekan dan Jerantut sebanyak 36,000 biji telur (1,200 papan) serta ke Agro Bazar Rakyat (ABR) di Panching, Bandar Inderapura Sempurna, Lepar, Chenor, Raub dan Lipis sebanyak 142,050 biji (4,735 papan),” katanya di pusat jualan PTK Bandar Jengka di sini.

Menurut Saiful, bekalan telur diperoleh daripada pembekal dari Ayer Keroh, Melaka dan diagihkan kepada dua pusat operasi FAMA di Kuantan dan Jerantut, manakala akan ditambah setiap minggu berasaskan permintaan pengguna.

“Usaha ini sekurang-kurangnya dapat menampung bekalan telur yang terjejas sebelum ini disebabkan berlaku kekurangan pengeluaran dan bekalan keperluan makanan ini.

“Jualan terus dari ladang turut dihantar ke Rompin, Kuantan, Lipis, Bera, Chenor, Jerantut, Raub, Chini, Pekan, Muadzam Shah dan Pasar Tani Bukit Rangin Perdana Dua, manakala pemborong, kedai runcit dan usahawan FAMA turut menerima 36,000 biji (1,200 papan) telur ayam.

“Pengguna dan peruncit boleh menghubungi pejabat FAMA berdekatan atau melayari laman sosial Facebook FAMA Negeri Pahang dan daerah untuk mengetahui maklumat bekalan serta pusat jualan telur,” katanya.

Katanya, FAMA Pahang akan terus membekalkan telur ayam kepada orang ramai secara jualan terus di PTK sehingga menjelang Hari Raya Aidilfitri dan selepas ini selagi ada permintaan di negeri ini.

Ujarnya, proses membekalkan telur ayam ke negeri ini akan dilakukan secara berperingkat dengan jumlahnya tertakluk kepada permintaan daripada pengguna, peruncit dan usahawan makanan di bawah FAMA. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya