TAMPIN: Sebanyak empat buah rumah teres dua tingkat terjejas dalam kejadian kebakaran di Taman Gunung Mas, di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tampin, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Zayyid Zakaria berkata, dalam kejadian itu, sepasukan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 9.13 malam.
Menurutnya, sebaik sampai di lokasi, api sedang marak di rumah pertama dan pasukan bomba segera melakukan kerja-kerja pemadaman api serta mengawal kebakaran.
“Dalam kebakaran ini, rumah pertama bekeluasan 25×60 kaki persegi mengalami kebakaran yang dianggarkan sekitar 60 peratus manakala rumah kedua pula bekeluasan 20×60 kaki persegi dianggarkan terbakar kira-kira 20 peratus manakala rumah ketiga dan keempat terjejas di bahagian hadapan melibatkan pendawaian.
“Selain itu, kebakaran ini turut melibatkan dua buah kenderaan di rumah pertama iaitu jenis Toyota Wish dan motosikal. Di rumah kedua pula, sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang diparkir di hadapan rumah turut terbakar.
“Dalam kejadian ini, bomba berjaya mengawal kebakaran pada pukul 9.36 malam dengan bantuan dua lagi balai bomba dari Kota dan Rembau dengan jumlah kekuatan 26 anggota serta pegawai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Dalam pada itu, Mohd. Zayyid berkata, tiada individu yang cedera dalam kejadian berkenaan dan punca serta jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan.
Sementara itu, mangsa di rumah pertama, Bong Sing Chong, 66, berkata, ketika kejadian dia berada di tingkat dua rumah sebelum terdengar bunyi letupan kuat.
“Semasa kejadian ada isteri dan seorang cucu saya di rumah, kami segera keluar mengikut pintu belakang rumah bagi menyelamatkan diri,” katanya.-UTUSAN.