MUAR: Empat beradik maut apabila kediaman mereka di Lorong Haji Muhammad, Jalan Ismail, Kampung Sabak Awor di sini, terbakar malam ini.
Dalam kejadian pukul 7.49 petang itu, masing-masing dua lelaki dan dua perempuan berusia antara tiga hingga lapan tahun itu ditemukan meninggal dunia.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Timbalan Penguasa Bomba II Shahrizal Mokhtar berkata, kebakaran melibatkan rumah jenis separuh kekal.
“Kesan kebakaran telah memusnahkan 80 peratus daripada keseluruhan rumah tersebut. Setelah api padam sepenuhnya pihak bomba bertindak membuat pencarian mangsa.
“Empat mangsa terdiri daripada dua kanak-kanak perempuan berusia enam dan empat tahun serta dua kanak-kanak lelaki berusia tiga dan lapan tahun ditemukan di bilik air rumah tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, seramai 20 anggota dari BBP Muar dan BBP Bukit Gambir dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
Pemeriksaan lanjut oleh pegawai perubatan mengesahkan semua mangsa telah meninggal dunia dan mayat kesemua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan serta operasi tamat pada pukul 9.52 malam. -UTUSAN