JOHOR BAHRU: Sektor pertanian di negeri ini mengalami kerugian lebih RM35.5 juta akibat banjir yang berlaku sejak awal bulan lalu di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, kerugian itu melibatkan seramai 4,862 petani dan meminta mereka menyediakan bukti dan membuat permohonan bagi mendapatkan bantuan dengan segera.
“Hingga hari ini, terdapat seramai 4,862 pengusaha industri asas tani yang terjejas dengan kerugian sebanyak RM35,524,600. Jumlah ini melibatkan sektor pertanian, veterinar, perikanan dan industri asas tani.
“Tetapi jumlah kerugian ini belum mengambil kira keseluruhan Batu Pahat kerana ada kawasan masih terjejas akibat banjir, namun ada beberapa kawasan telah dinilai. Ini termasuk daerah Segamat dan Muar,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Zahari memberitahu, kerajaan negeri komited untuk memastikan semua pengusaha yang terjejas akibat banjir mendapat bantuan sewajarnya, termasuk dengan mengurangkan karenah birokrasi.
“Mangsa diminta membuat laporan dan mohon bantuan segera, sekarang adalah waktu terbaik berbuat demikian dengan turut menyertakan bukti bergambar dan laporan polis.
“Kita bimbang jika menunggu selepas Hari Raya Aidilfitri nanti permohonan menjadi sukar kerana ketika itu keadaan mungkin sudah semakin pulih dan telah dikemas. Jadi, untuk mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan, lakukan segera.
“Ini kerana selepas permohonan dibuat, kita akan usahakan dalam tempoh 30 hari untuk selesai masalah, bantuan diberi akan bergantung dengan kerosakan dan keperluan mangsa,” katanya.
Beliau berkata, bantuan yang diberikan adalah dalam bentuk peralatan pertanian diperlukan, selain turut menyediakan khidmat nasihat kepada petani untuk memulakan kembali perusahaan mereka. – UTUSAN