KOTA BHARU: Kerajaan negeri mendedahkan 20,000 hektar tanah pertanian di jajahan kecil Lojing di Gua Musang dekat sini menggunakan bekalan sumber air tanpa kebenaran dari Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan (JSANK) sehingga tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri Datuk Azami Mohd. Nor berkata, itu berpandukan kepada data guna tanah yang diperoleh dari PlanMalaysia@Kelantan.
Menurutnya, hasil semakan yang dilakukan oleh JSANK mendapati terdapat beratus-ratus pengusaha kebun sayur di Lojing telah menggunakan sumber air untuk kegunaan pertanian komersial tanpa lesen yang sah.
“Pada masa yang ada, mereka ini belum pernah dikenakan apa-apa bayaran berdasarkan mana-mana enakmen yang berkuat kuasa berkaitan dengan penggunaan air.
“Bagi mengatasi perkara itu, kerajaan negeri telah merangka dan mengatur strategi bagi pelesenan semua pekebun melalui Lesen Sementara Abtraksi Sumber Air,” katanya semasa menjawab soalan Mohd. Syahbuddin Hashim (BN-Galas) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Mohd. Azami memberitahu, perkara tersebut selari dengan ketetapan yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan kali ke-21 pada 19 Oktober tahun lalu
Katanya, JSANK telah meluluskan empat lesen sementara sehingga kini dan sudah melaksanakan penguatkuasaan bersepadu untuk membendung masalah tersebut.
“Penguatkuasaan itu merangkumi pematuhan kepada Penilaian Alam Sekitar (EIA), Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESMP) dan Kebenaran Merancang Pertanian.
“JSANK juga telah mengadakan sesi libat urus dengan pemilik tanah yang juga merupakan agensi kerajaan bagi memudahkan proses pelesenan secara berfasa,” ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadok itu berkata, JSANK telah diberi mandat untuk menjalankan penguatkuasaan Lesen Abtraksi Badan Air bagi semua pengguna sumber air khususnya di tanah tinggi Lojing sebagaimana termaktub dalam Enakmen Sumber Air Negeri Kelantan 2019.-UTUSAN