[DUN] JAIJ sedia imam terawih kepada mangsa banjir di PPS - Utusan Malaysia

[DUN] JAIJ sedia imam terawih kepada mangsa banjir di PPS

MOHD. FARED MOHD. KHALID menghadiri sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) akan menyediakan khidmat imam bagi memimpin solat terawih kepada mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi, ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, persediaan itu dibuat ekoran umat Islam dijangka bakal menyambut kedatangan Ramadan esok dan mangsa banjir di kesemua PPS yang masih beroperasi boleh turut menunaikan ibadah berkenaan.

“PPS yang masih beroperasi, kita akan buka dan selaraskan tempat untuk umat Islam menunaikan solat terawih. Imam adalah dalam kalangan imam daripada masjid berdekatan.

“Daripada 20 PPS yang kekal beroperasi ketika ini, sebanyak 10 daripadanya akan diadakan solat terawih di lokasi, manakala mangsa-mangsa di 10 PPS lain boleh menunaikan solat terawih di surau dan masjid berdekatan,” katanya dalam sesi penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Setakat pukul 8 pagi hari ini, terdapat seramai 2,540 mangsa masih ditempatkan di 20 PPS yang masih beroperasi di daerah Batu Pahat.

Sementara itu, mengenai isu tauliah agama, Mohd. Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah turut memberitahu pihaknya telah menolak beberapa permohonan berceramah di negeri ini termasuk melibatkan penceramah popular.

“Tidak dinafikan ada penceramah popular yang terpaksa ditolak daripada berceramah di negeri ini. Tidak perlulah dinyatakan sebab dan alasan kenapa mereka ini tidak diberikan kebenaran. 

“Pastinya setiap permohonan telah ditimbang sehabis baik dan sebijaksana mungkin oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) untuk diberikan keputusan. Percayalah, adalah mustahil MAINJ menolak sesuatu yang bermanfaat melainkan pertimbangannya adalah untuk menjaga kemaslahatan umat Islam yang ada,” jelasnya.

Pada 16 Mac lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bahawa semua ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau akan dipecat sekiranya membenarkan penceramah tanpa tauliah MAINJ memberi kuliah agama di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya