[DUN] ADUN Johor terima peruntukan tambahan RM60,000 - Utusan Malaysia

[DUN] ADUN Johor terima peruntukan tambahan RM60,000

ONN HAFIZ GHAZI menghadiri sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM60,000 kepada semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sempena Ramadan dan Aidilfitri.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri berharap kesemua ADUN menggunakan peruntukan itu sebaiknya bagi memanfaatkan rakyat dan Bangsa Johor secara keseluruhan.

Katanya, semua peruntukan yang membabitkan implikasi kewangan bernilai RM3.36 juta berkenaan akan disalurkan pada minggu ini.

“Sebelum mengakhiri penggulungan ini, izinkan saya berkongsi sedikit berita gembira untuk Ahli-ahli Yang Berhormat sempena Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelma. 

“Kerajaan negeri bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk program Ramadan manakala RM20,000 lagi untuk program Aidilfitri.

“Kerajaan Johor juga akan menambah lagi peruntukan sebanyak RM20,000 untuk menjayakan agenda Johor Bersih di kawasan masing-masing,” katanya dalam sesi penggulungan menjunjung kasih titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini hari ini.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata, perubahan iklim yang tidak menentu akan memberi impak kepada kehidupan rakyat dan masa depan negeri Johor. 

“Dalam kita mengejar matlamat untuk menjadikan Johor negeri maju menjelang 2030, kita sama sekali tidak boleh melupakan perkara yang asas, iaitu kebersihan. 

“Atas sebab itu, agenda Johor Bersih telah digarap dan dilaksanakan, dengan satu tujuan khusus, iaitu bagi mewujudkan gelombang perubahan bersih dan cintai alam sekitar dalam kalangan masyarakat, melalui proses perubahan minda, sikap, dan tabiat kebersihan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya