TEMERLOH: Dua rentung apabila pacuan empat roda dinaiki mereka terbakar selepas terlibat kemalangan di Kilometer 108.8 Lebuhraya Pantai Timur, dekat Kampung Cempaka di sini.
Kenderaan jenis Ford Ranger dinaiki kedua-dua mangsa terbakar selepas bertembung dengan lori kontena membawa muatan alat ganti kereta hari ini.
Kedua-dua mangsa yang belum dikenal pasti identiti itu dipercayai tersepit dalam kenderaan dinaiki mereka manakala pemandu lori kontena terselamat.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, jantina kedua-dua mangsa juga belum diketahui.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kejadian tersebut pukul 5.24 pagi hari ini.
“Tujuh anggota dan dua pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab bersama sebuah jentera dan tangki air bantuan daripada BBP Bukit Angin dikerahkan ke lokasi.
“Pasukan bomba membuat operasi pemadaman api dengan menggunakan dua aliran hos saluran air tangki pam jentera bomba dan mendapat bantuan dari jentera tangki air BBP Bukit Angin.
“Setelah kebakaran dipadam sepenuhnya, operasi mengeluarkan mayat mangsa dijalankan dengan menggunakan peralatan menyelamat,” katanya dalam kenyataan di sini. – UTUSAN