GUA MUSANG: Keberanian dua pelajar tingkatan empat dari Sekolah Menengah Ugama (SMU) At-Taqwa Chiku 2 di sini menyelamatkan dua rakannya daripada lemas di Sungai Kombat, Felda Perasu di sini, 9 Februari lalu mendapat penghargaan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang hari ini.
Bagaimanapun, seorang lagi rakan mereka Muhammad Fakhrul Imam Zulkepli, 16, yang juga orang kurang upaya (OKU) kategori lembam disahkan meninggalkan dunia selepas dibawa ke Klinik Desa Felda Perasu.
Muhammad Alwi Mustafa Kamal dan Ahmad Faqih Syazani Mohd. Zainal yang masing-masing berusia 16 tahun dari menerima penghargaan yang disampaikan oleh Ketua Polis Daerah, Superintendan Sik Choon Foo sempena Peringatan Hari Polis Ke-216.
Muhammad Alwi berkata, pemberian surat penghargaan disifatkan cukup besar dan menjadi pemangkin akan semangat kepadanya untuk terus membantu masyarakat setempat selepas ini.
“Saya tidak menyangka akan menerima penghargaan ini kerana ikhlas membantu rakan ketika itu disebabkan nyawa mereka dalam bahaya.
“Saya berterima kasih dan penghargaan ini memberi suntikan semangat kepada saya untuk terus membantu mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Ahmad Faqih Syazani pula berkata, dia berterima kasih kepada pihak IPD Gua Musang yang memilih mereka untuk menerima penghargaan tersebut walaupun usia masih muda.
“Sehingga kini, kami berdua masih teringat tragedi lemas yang mengorbankan seorang rakan dan hanya dua nyawa yang kami dapat selamatkan.
“Dalam kegembiraan ini, terselit juga rasa sebak apabila mengingatkan kepada yang rakan yang sudah tiada kerana tidak dapat menyelamatkannya,” ujarnya.
Dalam kejadian 9 Februari lalu, Muhammad Fakhrul Imam dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Kombat, Felda Perasu, bersama empat lagi rakannya.
Muhammad Fakhrul Imam dari Felda Chiku 2 di sini dibawa ke Klinik Desa Felda Perasu dan disahkan telah meninggal dunia kira-kira pukul 6 petang.-UTUSAN