KOTA BHARU: Dua beradik ditahan polis selepas miliki 9,600 biji pil yaba dalam serbuan di tepi jalan Kampung Perangkap, Bunut Susu, Pasir Mas dekat sini, pada Khamis lalu.
Kedua-dua beradik yang masing-masing berusia 21 dan 24 tahun itu di berkas dalam serbuan pada pukul 10.12 malam.
Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan di dalam bilik bahagian belakang rumah berkenaan telah membawa kepada penemuan tiga bungkusan mengandungi pil yaba.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan pertama itu mengandungi 6,000 biji pil yaba.
“Bungkusan kedua pula membawa kepada penemuan 2,000 biji pil yaba dan bungkusan ketiga sebanyak 1,600 biji. Nilai keseluruhan rampasan pil ini dianggarkan berjumlah RM96,000.
“Semakan yang dilakukan mendapati kedua-dua suspek itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, kejayaan rampasan pil yaba itu hasil penahanan seorang lelaki yang bekerja sebagai buruh di tepi jalan Kampung Perangkap, Bunut Susu pada hari yang sama.
Katanya, suspek berusia 48 tahun itu diberkas pada pukul 8.15 malam.
“Pemeriksaan yang dilakukan ke atas tubuh badan suspek membawa kepada penemuan 2,000 biji pil yaba dianggarkan berjumlah RM20,000.
“Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau. Kesemua suspek direman selama seminggu bermula 10 Mac bagi membantu siasatan,” ujarnya.-UTUSAN