Dr. Farah Nini azam perkasa hak kanak-kanak

Dr. Farah Nini azam perkasa hak kanak-kanak

FARAH NINI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dr. Farah Nini Dusuki yang baru dilantik sebagai Pesuruhjaya Kanak-Kanak bertekad mahu memperkasa hak kanak-kanak agar mereka lebih dilindungi tanpa mengira mereka tergolong dalam mana-mana kategori sekali pun.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, kepenti­ngan terbaik mereka mesti diberikan keutamaan di dalam semua keputusan melibatkan golongan itu.

Beliau yang berterima kasih kepada pihak kerajaan atas kepercayaan yang diberikan untuk mengetuai suruhanjaya bagi menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) itu turut mahu golo­ngan itu dengan penekanan kepada hak mereka untuk hidup, berkembang dan dilindungi.

“Mereka juga mesti diberikan hak penyertaan setiap masa,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, Menteri di Jaba­tan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi), Datuk Seri Azalina Othman Said meng­umumkan pelantikan Pen­syarah Kanan di Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya (UM) itu sebagai Pesuruhjaya berkenaan untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 8 Mac lalu.

Pelantikan Farah Nini diper­kenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengikut subseksyen 5 (2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597].

Farah Nini mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang hak asasi manusia dan undang-undang berhubung kanak-kanak dan pensyarah kanan di UM sejak 2007.

Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat di Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws, Universiti Islam Antarabangsa selama 15 tahun.

Farah Nini memperoleh PhD dari Universiti Cardiff, Wales, United Kingdom dengan tesis menganalisa permasalahan sosio-perundangan bagi melindungi kanak-kanak daripada penderaan dan pengabaian.

Antara bidang kajian beliau termasuk perundangan peng­adilan jenayah, undang-undang kanak-kanak, perlindungan re­maja dalam isu kesihatan reproduktif seksual serta pelaksanaan dan penguatkuasaan hak kanak-kanak di Malaysia.

“Dengan lantikan beliau, kerajaan berharap pelbagai isu kanak-kanak yang berlaku di Malaysia akan diberi perhatian lebih mendalam bagi memastikan hak asasi serta keselamatan kanak-kanak di negara ini terpelihara,” kata Azalina. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya