KOTA BHARU: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memperkasakan semula pelan sedia ada dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan menerusi tiga fokus utama iaitu pendtadbiran, bahasa ilmu dan ekonomi.
Ketua Pengarahnya Dr. Hazami Jahari berkata, sebagai sebuah badan yang dipertanggungjawab usaha itu selaras suasana kerajaan baharu.
“Apa pun setakat ini tiada masalah dalam sektor awam. Berdasarkan program Audit Bahasa yang dijalankan di sektor awam didapati penggunaan bahasa Kebangsaan berada dalam keadaan baik dan terkawal,” katanya kepada pemberita pada majlis Peranan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Dalam Memartabatkan Bahasa Kebangsaan di Dewan Utama Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hazami memberitahu, Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen.
Bagaimanapun katanya, ada sesetengah istilah menggunakan bahasa Inggeris yang bergantung kepada bidang tertentu seperti kesihatan dan DBP akan berusaha untuk membuat padanan.
“Pada masa sama, DBP akan berusaha memastikan kesedaran penggunaan bahasa Kebangsaan dalam urusan perdagangan dan perniagaan dapat dipertingkatkan.
“Contohnya, syarikat-syarikat swasta digalakkan untuk merujuk atau mendapatkan nasihat DBP dalam penggunaan bahasa termasuk iklan pada paparan awam,” ujarnya.-UTUSAN