JOHOR BAHRU: Petinju negara, Muhamad Farkhan Mohd. Haron meneruskan karier politiknya apabila dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Iskandar Puteri bagi penggal 2023-2026.
Kemenangan petinju berusia 35 tahun itu disahkan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali dalam satu kenyataan hari apabila menewaskan lawannya, Mohd. Nobli Mohd. Nassir.
Muhamad Farkhan bertekad untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada masyarakat setempat, sekali gus memperkasa parti terbesar orang Melayu itu.
“Kepada sahabat saya Mohd. Nobli, dengan pengalaman dan kebolehan yang saudara ada, dengan rendah diri dan penuh hormat saya memohon saudara untuk bersama-sama kami barisan Jawatankuasa Pemuda untuk memperkasakan parti yang kita sama-sama cintai ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Iskandar Puteri sebelum ini disandang Mohd. Akmal Melan.
Sementara itu, bekas Ahli Dewan Negara, Datuk Fahariyah Md. Nordin menewaskan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin Nisa Ismail untuk jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Ledang bagi penggal 2023-2026.
Menurutnya, kemenangan itu merupakan amanah dan tanggungjawab yang akan digalas dalam memperkasakan Wanita UMNO Bahagian Ledang.
“Saya juga merakamkan terima kasih kepada YB Khairin Nisa serta barisan kepimpinan beliau,” katanya. – UTUSAN