KUALA LUMPUR: Dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberikan rasuah RM25,000 kepada seorang pegawai polis bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan kerana mengedar minuman keras tanpa cukai pada pertengahan tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, pembantu kedai, A. Ragubathi, 42, dan abangnya, A. Vijayakumar, 47, seorang pengarah syarikat didakwa telah merasuah Penolong Penguasa Polis, Asisten Superintendan, Suhaimi Omar, 47, dengan menyerahkan wang tersebut.
Suapan itu sebagai dorongan agar Suhaimi yang bertugas di cawangan Perisikan Dan Siasatan Khas Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini melepaskan kedua-dua tertuduh daripada dikenakan tindakan di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 kerana kesalahan mengedar minuman keras tanpa cukai sah.
Perbuatan itu didakwa dilakukakan pada 28 Jun tahun lalu di sebuah restoran di Plaza Metro Prima, Kepong, di sini.
Pertuduhan terhadap kedua-kedua beradik itu dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
HUKUMAN
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Irna Juliza Maaras mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh selain memohon mahkamah mengenakan syarat-syarat tambahan iaitu melapor diri di SPRM Selangor sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Peguam bela, R. Mahendran Naidu yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon agar ikat jamin tersebut dikurangkan kerana anak-anak guamnya masih dalam jaminan SPRM sebanyak RM10,000 seorang dan turut dikenakan syarat tambahan melaporkan diri ke SPRM Selangor setiap bulan sejak siasatan bermula.
“Kedua-dua tertuduh adalah pasangan adik-beradik dan menjaga ibu mereka yang perlu mendapatkan rawatan akibat penyakit strok pada setiap bulan,” katanya.
Hakim Azura Alwi selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan kedua-dua pihak menetapkan wang jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM Selangor sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 23 Mei ini untuk sebutan semula kes.- UTUSAN