ISKANDAR PUTERI: Cubaan sindiket menyeludup masuk minuman keras pelbagai jenama kecundang apabila lapan kontena membawa barangan tidak bercukai itu bernilai RM5.167 juta disita Bahagian Penguatkuasaan Kastam Marin Sungai Pulai, awal bulan ini.
Pengarah Kastam negeri, Misbahudin Parmin berkata, lapan kontena yang dikesan mengandungi minuman keras pelbagai jenama itu disita di Pelabuhan Klang, Selangor pada 6.30 petang, 3 Mac lalu.
Kegiatan penyeludupan minuman keras itu berjaya dipatahkan setelah menerima maklumat dan mendapat kerjasama Risikan Zon Selatan sebelum melakukan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan ke atas dokumen pengikraran Borang Kastam 1 (BK1), dagangan yang diikrar adalah alat ganti mesin, tidak sama dengan muatan yang terdapat dalam kontena. Modus operandi sindiket penyeludupan ini adalah dengan membuat pengikraran palsu dan perakuan tidak benar dalam BK1 bagi mengaburi mata pihak berkuasa serta mengelak daripada dikenakan duti import.
“Pemeriksaan ke atas kontena tersebut mendapati ia sarat dekat kotak yang mengandungi minuman yang tidak bercukai, malah mereka tidak cuba menyorokkan dengan barangan lain,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, di sini hari ini.
Beliau berkata, anggaran barang dagangan yang dirampas adalah bernilai RM922,000 dan jumlah duti dan cukai terlibat lebih RM4.16 juta Lapan kontena yang disita itu dianggarkan bernilai RM80,000 menjadikan jumlah keseluruhan dagangan termasuk cukai dan kontena adalah lebih RM5.16 juta.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barangan tidak berkastam atau barangan larangan yang boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi atau penjara tidak kurang enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, dua sindiket penyeludupan rokok dari China mengikrarkan barang dagangan sebagai barangan plastik dan lampu, namun, kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor melakukan pemeriksaan rapi ke atas kontena terbabit dan menemukan ribuan rokok putih yang dianggarkan bernilai lebih RM1.27 juta.
Pihaknya berjaya merampas 1,521,600 batang rokok putih dalam dua serbuan berasingan di Pelabuhan Johor, Pasir Gudang, bulan ini, iaitu dalam serbuan pertama kira-kira pukul 4 petang, 6 Mac lalu mendapati barang dagangan tidak sama seperti diikrar dalam Borang Kastam 2 (BK2), iaitu barangan plastik.
“Kita menemui sejumlah rokok putih yang tidak bercukai dianggarkan bernilai RM67,000 dan anggaran duti dan cukai terlibat sebanyak RM402,000,” katanya.
Susulan penemuan rokok pelbagai jenama itu, Misbahudin berkata, seorang lelaki warga tempatan yang juga wakil syarikat ejen berusia 30-an ditahan bagi membantu siasatan, tetapi kemudian dibebaskan dengan wang jaminan sebanyak RM50,000.
Dalam serbuan kedua pada 12 tengah hari, 15 Mac lalu ke atas sebuah gudang di lokasi sama menjumpai barang dagangan yang diikrar dalam BK2 adalah lampu, namun sebenarnya sejumlah rokok putih yang belum lulus kastam.
“Anggaran keseluruhan nilai barang kes dirampas adalah sebanyak RM115,200 dan anggaran jumlah duti dan cukai terlibat adalah sebanyak RM687,000. Wakil syarikat ejen, iaitu seorang lelaki tempatan berusia 40-an turut ditahan untuk membantu siasatan yang kemudiannya dilepaskan dengan wang jaminan RM30,000,” katanya sambil memaklumkan kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(a) akta sama. – UTUSAN