KOTA BHARU: Barisan Nasional (BN) tekad menyelesaikan isu bekalan air yang membelenggu rakyat negeri ini sejak sekian lama dalam tempoh lima tahun sekiranya diberi mandat untuk menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengerusinya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, masalah tersebut menjadi keperluan utama yang mahu diselesaikan oleh BN.
Menurutnya, pada PRN nanti rakyat perlu membuat keputusan berani dengan memberikan kemenangan kepada BN untuk membentuk kerajaan sekaligus membuktikan kemampuan urus tadbir dengan lebih baik.
“Rakyat negeri ini lagi boleh menjadi mangsa kepada masalah bekalan air keruh. Saya tidak bersetuju menjadi takdir sebagai alasan untuk menutup kelemahan dalam menyelesaikan masalah ini.
“Beri peluang kepada BN untuk lima tahun sahaja. Jika dirasakan gagal rakyat boleh tukar semula pentadbiran,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengenalan Calon-calon Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Peringkat Negeri Kelantan di sini hari ini.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memberitahu, dasar-dasar baik yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri sebelum ini akan diteruskan seperti biasa.
Isu air bersih bukanlah perkara baharu malah sudah berlarutan sejak bertahun-tahun lalu yang gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri.-UTUSAN