Bimbang kurang bekalan ayam, peniaga bazar Ramadan buat tempahan awal - Utusan Malaysia

Bimbang kurang bekalan ayam, peniaga bazar Ramadan buat tempahan awal

ABDUL Aniq Syaras menunjukkan ayam golek jualannya di Bazar Ramadan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bimbang akan berulangnya masalah kekurangan bekalan ayam, seorang peniaga ayam golek di bazar Ramadan mengakui terpaksa membuat tempahan awal daripada pihak peniaga bahan mentah tersebut.

Abdul Aniq Syaras, 22, mengakui risau jika bekalan ayam tidak mencukupi, oleh itu dia turut mendapatkan bekalan dari beberapa lokasi.

“Saya sendiri terpaksa membuat tempahan ayam dua bulan awal sebelum tiba Ramadan, bimbang ayam tidak cukup kerana saya memerlukan sekurang-kurangnya 400 ekor ayam sehari. Bagi memastikan tidak putus bekalan, saya dapatkan daripada peniaga ayam di beberapa lokasi termasuk dari Johor.

“Difahamkan ada beberapa lokasi seperti di sekitar Senawang bekalan sudah mula susut lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini dan ada sedikit peningkatan harga berbanding sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Bazar Ramadan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini.

Katanya, dia mendapatkan seekor ayam seberat 1.6 kilogram daripada peniaga pada harga RM13 dan menjual ayam golek di bazar Ramadan pada harga RM20 seekor.

Sementara itu, seorang peniaga ayam di Pasar Ampangan, Alizan Tambi, 52, berkata, setakat ini bekalan ayam masih mencukupi dan tidak terputus, cuma harga yang diterima daripada pembekal agak tinggi.

“Saya dapat daripada pembekal pada harga RM7.40 bagi setiap sekilogram dan menjualnya dengan harga RM9.40 sekilogram kepada pelanggan tidak termasuk upah proses dan plastik. Memang itu harganya sekarang dan mahu turun memang susah.

“Permintaan daripada pelanggan seperti biasa sahaja. Cuma sekarang ini tiada permintaan daripada pelanggan tetap saya yang merupakan pengusaha kantin sekolah dan katering,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya