SEREMBAN: Kerajaan bimbang dengan perangkaan pesakit yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) dan penyakit buah pinggang kronik (CKD).
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, statistik terkini mendapati seorang daripada setiap tujuh orang rakyat negara ini mengalami CKD dengan lebih 9,000 pesakit dikenal pasti perlu menjalani rawatan dialisis setiap setahun.
Beliau berkata, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 mendapati sebanyak 1.7 juta individu di negara ini menghidap tiga jenis NCD utama iaitu diabetes, hipertensi dan kolestrol tinggi manakala 3.4 juta individu menghidap mana-mana dua penyakit kategori yang sama.
“Dianggarkan lebih 850 juta orang di seluruh dunia mengidap penyakit buah pinggang dan golongan rentan ini akan terjejas lebih teruk akibat bencana dan pandemik menyebabkan mereka tidak dapat mengakses perkhidmatan perubatan dan rawatan penjagaan yang betul.
“Kerajaan Malaysia sangat komited di dalam memerangi NCD dan telah memberi tumpuan kepada pencegahan CKD di dalam Agenda Kesihatan Kebangsaan,” katanya dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia peringkat kebangsaan 2023 di Dataran Nilai, dekat sini semalam.
Yang turut hadir, Presiden Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan, Datuk Dr. Zaki Morad Mohd. Zaher dan Presiden Persatuan Nefrologi Kebangsaan, Dr. Lily Mushahar.
Menurut Dr Zaliha, selain menangani kebimbangan yang semakin meningkat itu, kementeriannya telah menghasilkan Kertas Putih Kesihatan dengan visi Semua untuk Kesihatan, Kesihatan untuk Semua bagi menjayakan usaha mencegah NCD.
Katannya, tumpuan utama kementeriannya adalah untuk mengubah penjagaan pesakit dengan meluaskan promosi dan pencegahan penyakit sebagai sebahagian daripada fokus baharu terhadap pengurusan NCD. -UTUSAN