Berbasikal lebuh raya, pencak silat mampu cipta kejutan, sumbang lebih emas - Utusan Malaysia

Berbasikal lebuh raya, pencak silat mampu cipta kejutan, sumbang lebih emas

SHALIN Zulkifli ketika bertemu dengan atlet-atlet pencak silat negara ketika mengadakan lawatan ke venue latihan mereka di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) di Nilai, Seremban, semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Skuad berbasikal lebuh raya dan pencak silat negara boleh mencipta kejutan dengan meraih lebih banyak pingat emas pada temasya Sukan SEA Kemboja yang akan berlangsung Mei nanti.

Timbalan Chef de Mission, Datuk Shalin Zulkifli berkata, berdasarkan tahap persiapan yang dilakukan atlet kedua-dua sukan itu, tidak mustahil kejutan boleh dilakukan ataupun setidak-tidaknya mencapai prestasi dua pingat emas yang diraih pada edisi  Sukan SEA di Hanoi, Vietnam tahun lalu.

“Saya sebenarnya tidak terkejut dua sukan ini boleh mencipta sesuatu termasuk sukan lain juga, bagaimanapun ia bergantung kepada keadaan mereka juga apabila tiba di sana nanti, jika mereka melakukan yang terbaik semasa latihan insya-Allah mereka akan dapat keputusan yang baik.

“Mereka (atlet) kini bersemangat dan berkobar-kobar, kita ada juga beberapa atlet senior yang akan dapat bantu atlet-atlet muda untuk menaikkan semangat dan kongsikan pengalaman.

“Bagaimanapun sasaran pingat hanya akan dapat tahu bila kita akan adakan bengkel pada pertengahan bulan hadapan, di situ kita akan duduk berbincang dengan setiap Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) dan lihat apa sasaran mereka dan di situ akan ditentukan jumlah pingat yang akan diletakkan pada Sukan SEA nanti,” katanya.

Beliau bersama seorang lagi Timbalan Chef de Mission, Sharon Wee, ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke venue latihan atlet ke Sukan SEA Kemboja bagi sukan berbasikal lebuh raya dan pencak silat di Nilai di sini, semalam.

SHALIN Zulkifli dan Sharon Wee bersama atlet berbasikal lebuh raya yang menjalani latihan di Nilai, Seremban, semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Sementara itu, Shalin berkata, tahap persiapan atlet negara bagi kedua-dua sukan itu nampak baik dan masing-masing bersemangat walaupun perlu menjalani latihan pada bulan puasa.

“Saya lihat tahap persiapan mereka agak baik, kebanyakan mereka pula baru balik dari pertandingan dan selepas ini akan menyertai lagi pertandingan di luar negara sebelum ke Sukan SEA.

“Bagi sukan silat ini contohnya, daripada 19 atlet yang akan ke Sukan SEA, 15 orang daripadanya merupakan pesilat muda dan akan pertama kali bertanding di Sukan SEA, masing-masing teruja dan tidak sabar menunggu hari pertandingan di sana nanti.

“Walau apa pun, berbaki kira-kira enam minggu sebelum temasya, saya berharap mereka perlu bijak ketika menjalani latihan, elakkan daripada berlakunya kecederaan, jaga kesihatan dan pemakanan supaya fizikal mereka bersedia dengan latihan intensif dalam tempoh berbaki ini,” katanya.

Temasya Sukan SEA Kemboja yang berlangsung dari 5 hingga 17 Mei depan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya