Bah Johor: Jumlah mangsa bertambah, 49,543 dipindahkan - Utusan Malaysia

Bah Johor: Jumlah mangsa bertambah, 49,543 dipindahkan

SEORANG penduduk, Saiful Mohamad menaiki bot di hadapan sebuah masjid yang dilanda banjir di Kampung Temehel, Yong Peng, Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat dengan 49,543 mangsa daripada 14,149 keluarga yang ditempatkan di 264 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat pukul 12 tengah hari ini.

Angka itu menunjukkan sedikit peningkatan berbanding seramai 49,410 mangsa yang direkodkan pada pukul 8 pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, sembilan daerah di negeri ini terjejas akibat banjir ketika ini dengan daerah yang menempatkan paling ramai mangsa ialah Batu Pahat dengan 21,020 mangsa.

“Ini diikuti Segamat  dengan 10,953 mangsa, Muar (4,732), Kluang (4,695), Tangkak (3,257), Kota Tinggi (3,110), Mersing (1,168), Johor Bahru (325) dan Pontian (276).

“Sementara itu, seramai 64 mangsa yang sebelum ini ditempatkan di PPS yang dibuka di Kulai telah dibenarkan pulang selepas situasi banjir di kediaman mereka kembali pulih,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) pula menunjukkan beberapa daerah di bawah amaran hujan berterusan tahap buruk, iaitu Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.

Sebanyak 14 sungai di tujuh daerah diletakkan bawah kategori paras air berbahaya, antaranya Sungai Gemas, Sungai Muar, Sungai Tangkak, Sungai Bekok, Sungai Kahang dan Sungai Johor.

Sebanyak 44 laluan dan susur turut ditutup untuk semua jenis kenderaan, antaranya Jalan Paloh, Jalan Parit Jambi, Jalan Sri Bengkal, Jalan Yong Peng-Muar, Jalan Lingkaran Kahang Barat, Jalan Mawai Lama,  Jalan Tanah Abang dan Jalan Semaloi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya