'Baby Syifaa' susah tidur, pengasuh terpaksa guna buai - Utusan Malaysia

‘Baby Syifaa’ susah tidur, pengasuh terpaksa guna buai

PEGUAM mewakili keluarga Baby Syifaa iaitu Hafiz (kiri) dengan bapa bayi, Yuseri Yusof (tengah) pada prosiding hari keempat inkues bagi menyiasat punca kematian Baby Syifaa di Mahkamah Koroner di sini hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pengasuh taska yang bertanggungjawab menjaga bayi perempuan, Nour Rania Asyifaa Yuseri atau ‘Baby Syifaa’ terpaksa meletakkan bayi berusia 15 bulan itu di dalam buaian bagi membolehkan dia tidur sebelum ditemui dalam keadan kepala tergantung dan tidak sedarkan diri pada 22 Februari 2022.

Saksi ke-19, Khairulnisa Ahmad Damanhuri, 38, yang menjaga ‘Baby Syifaa’ berkata demikian ketika hadir memberi keterangan pada prosiding hari keempat inkues di hadapan Koroner, Datin Surita Budin.

Khairulnisa yang sedang sarat mengandung berkata, pada hari kejadian Syifaa mahu perhatian daripadanya dan ingin sentiasa diriba menyebabkan dia perlu menggunakan buaian yang bukan suatu ‘kebiasaan’.

“Apabila Syifaa menangis bayi yang lain pun tidak boleh tidur, pada mulanya saya ribakannya tetapi dia tetap menangis pada masa sama saya menghenjut dua ‘rocker’ di kiri dan kanan dengan kaki untuk tidurkan dua bayi lain,” katanya pada prosiding inkues di sini hari ini.

Jelas Khairulnisa, dia kemudian terpaksa mengambil sebuah buaian yang disimpan dalam almari di bilik asuhan untuk memastikan Syifaa dapat tidur.

“Apabila saya masukkan Syifaa dalam buaian, buaian itu tak boleh menghenjut dan saya letak kain lampin (bahagian atas) kerana takut spring besi buaian itu patah kerana ia sudah lama. 

“Buaian itu digunakan sekali sekala saja bila keadaan mendesak dan tak pasti berapa lama mungkin lebih kurang setengah jam, baru dia tidur,” katanya.

Pada prodising inkues yang bersambung pada pukul 2.30 petang, mahkamah juga meminta Khairulnisa membuat demonstrasi bagaimana buaian itu dipasang dan keadaan bayi sebelum ditemui tergantung.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria bagaimana keadaan Syifaa dalam buaian, Khairulnisa menjelaskan selepas Syifaa tidur dia menutup kain buaian dengan mencangkuk di kedua-dua bucu di kiri kanan supaya tiada ruang dan bayi tidak akan terjatuh sebelum keluar dari bilik untuk ke tandas dan makan.

“Apabila masuk semula ke dalam bilik saya terkejut apabila lihat Syifaa berdiri dengan kepalanya terkeluar dalam keadaan tertunduk.

“Saya menjerit terkejut dan memanggil Syifaa ketika mengangkatnya dia macam mengambil nafas tetapi keadaannya sudah terkulai,” katanya.

Khairulnisa berkata, dia cuba menyelamatkan Syifaa dengan cara menekan dadanya beberapa kali tetapi masih tidak sedarkan diri sebekum membawanya ke Klinik Kesihatan Sendayan.

Terdahulu, Khairulnisa mengesahkan pusat jagaan itu yang beroperasi sejak Disember 2020 tidak berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM).

Khairulnisa yang menjaga Syifaa di premis tersebut sejak berusia tiga bulan turut mengakui tidak mempunyai sebarang tauliah atau sijil Kursus Asuhan dan Didikan Kanak-Kanak Permata yang diiktiraf oleh JKM.

Khairulnisa bertanggungjawab menjaga tiga bayi berusia di bawah dua tahun termasuk Syifaa manakala pengasuh kedua yang juga adiknya menguruskan 13 kanak-kanak di bilik berasingan.

Pada prodising itu, keluarga Syifaa diwakili peguam, Gaithri Thomas dan Hafiz Norkhan manakala peguam pemerhati pihak pengasuh, S.Kavitha.

Mahkamah turut menetapkan prosiding inkues bersambung pada 21 dan 22 Mac depan untuk mendengar keterangan tujuh lagi saksi. 

Sebelum ini, media melaporkan, Nour Rania Asyifaa, 15 bulan, ditemui tidak sedarkan diri di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.

Pada 30 Mac 2022, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya