KOTA TINGGI: Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berjaya mempertahankan jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Pengerang dalam pemilihan kali ini.
Dalam pertandingan dua penjuru, Ahli Parlimen Pengerang itu menang dengan 261 undi, manakala pencabarnya, Datuk Mhd. Tahir Mohd. Noah hanya memperoleh 10 undi.
Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Tetap, Yahya Hamzah.
Jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian pula dimenangi oleh Abdul Hadi Sydee yang meraih 189 undi, menewaskan pencabarnya, Ghazali Abas yang meraih 80 undi.
Seramai 283 perwakilan menghadiri Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pengerang yang diadakan di Lotus Desaru Beach Resort.
Azalina yang telah menerajui UMNO Bahagian Pengerang sejak 2008 turut bertanding merebut jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan kali ini. – UTUSAN