Angkasa laksana strategi berkesan kurang kos import makanan negara - Utusan Malaysia

Angkasa laksana strategi berkesan kurang kos import makanan negara

ABDUL FATTAH Abdullah mengulas laporan Utusan Malaysia bertajuk 'RM100 bilion kos import makanan' dan peranan Angkasa dan koperasi membantu pengeluaran makanan negara di Temerloh, Pahang. - UTUSAN/ SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) menggerakkan 14,975 koperasi di bawah agensi itu terlibat secara langsung dalam aktiviti pengeluaran makanan bagi mengurangkan kos import makanan negara.

Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, agensi itu dengan hampir lapan juta ahli menjadi rakan kongsi kerajaan bagi menjamin bekalan mencukupi dan stabil harga di pasaran.

Menurutnya, Angkasa secara berterusan meneroka serta mencari peluang untuk meningkatkan pengeluaran makanan negara menerusi rantaian atau ekosistem yang melibatkan koperasi penternakan, pemprosesan, pembekalan, logistik dan akhirnya kepada pengguna.

“Angkasa mempunyai perancangan besar dalam usaha mewujudkan ekosistem yang didominasi oleh koperasi dalam membantu rakyat mendepani kos sara hidup,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Negeri (MAN) Pahang Zon 2 (2023) di Pejabat Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri (JPAN) Pahang 2 (Temerloh) di sini hari ini.

Semalam, akhbar ini melaporkan, nilai import makanan negara boleh mencecah sehingga RM100 bilion menjelang 2025 berdasarkan statistik dan trend semasa antaranya disebabkan permintaan dalam negara melebihi penawaran.

Mengikut laporan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, RM75.54 bilion import makanan dicatatkan tahun lalu, berbanding RM63.59 bilion pada 2021, iaitu peningkatan sebanyak 18.7 peratus manakala RM55.4 bilion dicatatkan pada 2020.

Malah, ia menunjukkan peningkatan import luar biasa dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini apabila RM38.8 bilion import makanan dicatatkan pada 2013, menjadikan peningkatan sebanyak 94.6 peratus pada 2022.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata, Angkasa melalui anak syarikatnya, Komardi Dairy Sdn. Bhd. menjayakan ternakan lembu tenusu bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan import makanan.

“Projek ini turut melibatkan koperasi penternak tenusu, kilang susu segar milik koperasi dan pusat penghasilan produk tenusu koperasi. Angkasa mempunyai 81 ekor lembu baka Holstein genetik dari Korea Selatan yang boleh menghasilkan 45 liter sehari berbanding hanya 15 hingga 20 liter baka tempatan,” katanya.

Menurutnya, projek lembu tenusu ini dalam jangka masa panjang dapat memenuhi permintaan industri tenusu negara sekali gus mengurangkan kebergantungan import.

Justeru itu tegasnya, JPAN dan juga koperasi dapat menjalinkan hubungan rapat bersama agensi dan jabatan kerajaan bagi melihat projek-projek yang berpotensi membangunkan industri makanan negara.

“Angkasa mahu penglibatan koperasi secara keseluruhan dengan mewujudkan satu ekosistem yang komprehensif seperti pengeluaran bekalan ayam sekali gus dapat menstabilkan harga, bekalan stabil dan mengurangkan kebergantungan dengan orang tengah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya