KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali umrah dan haji, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) menawarkan diskaun sehingga RM300 untuk pakej umrah sempena Matta Fair 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.
Malah, sebanyak 300 kerusi penerbangan menunaikan umrah pada bulan Ramadan tahun ini juga masih dibuka.
Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, banyak lagi tawaran menarik akan diberikan khusus untuk pengunjung Matta Fair 2023 dan membuat tempahan di situ.
“Tahun ini sahaja pihak kami telah menerbangkan 48,000 jemaah ke tanah suci bagi menunaikan umrah dan menyasarkan 60,000 pada penghung tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan broshur dan pakej umrah Andalusia di MITEC, di sini, semalam.
Menurut Md Daud, pengunjung hanya perlu membayar deposit RM50 untuk membuat pendaftaran dan berpeluang menyertai cabutan bertuah yang menyediakan hadiah-hadiah yang menarik.
Sementara itu, Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, pihaknya memberi jaminan keselesaan kepada jemaah umrah dan haji dari Malaysia supaya mereka boleh fokus kepada ibadah sahaja.
“Kepada bakal jemaah umrah mahupun haji, mereka tidak perlu khuatir dengan pakej yang disediakan oleh Andalusia kerana kami sudah menandatangi perjanjian tempat penginapan dan penerbangan dengan syarikat yang terlibat,’’ katanya. – UTUSAN