GUA MUSANG: Permulaan Ramadan yang jatuh pada hari bekerja iaitu Khamis menyebabkan ramai anak Kelantan di perantauan membuat keputusan untuk tidak pulang berpuasa di kampung halaman sebagaimana kebiasaan yang dilakukan.
Pembukaan sesi persekolahan bagi penggal baharu yang terlalu hampir dengan permulaan puasa turut mempengaruhi keputusan perantau untuk pulang.
Tinjauan mendapati aliran trafik melalui Jalan Gua Musang-Kuala Krai dan Gua Musang-Kuala Lipis serta kawasan lampu isyarat di bandar Gua Musang lancar tanpa kesesakan kenderaan.
Seorang pengguna jalan raya, Haida Abdullah, 35, berkata, aliran trafik di beberapa jalan menuju ke Gua Musang masih terkawal.
Menurutnya, kebiasaannya menjelang Ramadan berlaku pertambahan kenderaan kerana rata-rata perantau pulang untuk berpuasa bersama keluarga.
“Kemungkinan perantau masih bekerja dan tidak mengambil cuti untuk pulang menyambut puasa kerana baharu sahaja cuti sekolah.
“Kemungkinan hujung minggu ini, trafik akan meningkat kerana anak perantau akan pulang berbuka puasa dan bersahur bersama keluarga,” katanya.
Sementara itu, seorang perantau, Tuan Nur Mukminah Tuan Abdullah, 37, berkata, dia mengambil cuti sebelum sambutan bulan Ramadan untuk pulang menyambut puasa bersama keluarga serta keluarga mentua.
Katanya, dia bertolak dari Jitra, Kedah semalam pada pukul 3 petang melalui Jalan Jeli-Gerik dan sampai di Gua Musang pada pukul 9.30 malam tadi.
“Saya menjangkakan jumlah kenderaan akan meningkat menjelang hujung minggu ini kerana ramai mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk menyambut Ramadan di kampung halaman.
“Anak perantau yang ingin pulang ke kampung halaman untuk menyambut Ramadan diingatkan sentiasa merancang perjalanan agar selamat serta sampai ke destinasi yang dituju,” ujarnya.-UTUSAN