MUAR: Permintaan empat beradik yang mahu memakai baju raya berwarna hitam tahun ini seolah-olah petanda mereka akan pergi selama-lamanya.
Ibu mangsa, Nabila Sedu, 31, mengakui terkilan kerana tidak dapat memenuhi hajat terakhir empat anaknya itu untuk memakai baju tersebut sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.
Dia ditemui di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar dilihat mencium dan mendakap baju tadika salah seorang anaknya.
Namun, usaha untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada Nabila dan suaminya, Thein Ko Htut, 30, gagal kerana mereka sangat sedih dengan tragedi itu dan tergesa-gesa meninggalkan hospital tersebut.
Malam tadi, media melaporkan empat beradik maut apabila kediaman mereka di Lorong Haji Muhammad, Jalan Ismail, Kampung Sabak Awor, di sini terbakar.
Dalam kejadian pukul 7.49 malam itu, Puteri Aisyah Thein Ko Htut, 8, Mohd. Hakim, 6, Mustakim, 4, dan Fatihah Aisyah, 3, ditemukan meninggal dunia di dalam bilik air di bahagian dapur rumah tersebut.
Turut menziarah keluarga tersebut di hospital berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid. – UTUSAN