Akta baharu dadah kurangkan kesesakan penjara

Akta baharu dadah kurangkan kesesakan penjara

KERAJAAN sedang mengkaji akta baharu mengenai kesalahan dadah bagi mengurangkan kesesakan dalam penjara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan dalam usaha menggubal akta baharu Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) bagi mengurangkan bilangan penagih dadah di penjara dengan menempatkan mereka di institusi atau rawatan pemulihan komuniti.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata,  melalui akta itu penagih dadah hanya perlu mendapatkan rawatan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) atau rawatan pemulihan komuniti. 

Ini bagi mereka yang didapati bersalah mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dabah Berbahaya 1956 dan perlu melalui hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak kurang dua tahun.

“Sekarang dalam pembikinan (akta) kita jangka tahun ini boleh dibentang. Apabila akta baharu ini digubal dan diluluskan, kes membabitkan penemuan dadah dalam badan itu akan terus disalurkan kepada program rawatan di bawah AADK, atau rawatan pemulihan dalam komuniti.

“Saya fikir ini akan memberi kesan signifikan dalam mengurangkan kesesakan dalam penjara. Hari ini kita ada 39 penjara seluruh negara dan kapasiti sekarang tahanannya, 74,459 pesalah sedangkan keupayaan penjara kita cuma asalnya sekitar 65,000 jadi ada lebihan,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) meminta beliau  menyatakan komitmen kementerian untuk menyahjenayahkan kesalahan dadah kecil dalam usaha mengurangkan populasi banduan penjara di Malaysia.

Untuk rekod, kata Saifuddin, negara kini berdepan dengan kesesakan pesalah reman dan sabitan di 39 penjara membabitkan 74,459 tahanan sedangkan kapasitinya hanya kira-kira 65,000 orang.

Mengulas lanjut, katanya, penagih yang dihantar ke institusi AADK perlu menjalani rawatan selama dua tahun, sebelum perlu menyambung rawatan peringkat komuniti untuk tempoh dua tahun lagi.

“Kalau rawatan pemulihan komuniti sahaja, mereka perlu ditempatkan selama tiga tahun. Berbeza dengan sekarang, pesalah ini mungkin berakhir di penjara,” katanya.

Beliau berkata, dalam setiap 800 pesalah dibebaskan membabitkan semua kesalahan yang peruntukan hukumannya di bawah tiga tahun, hanya seorang sahaja dilaporkan berpatah balik melalui program bersifat korektif antaranya lembaga parol, perintah kehadiran wajib dan pembebasan berlesen.

Selain itu, menurutnya, kerajaan yang secara purata berbelanja sebanyak RM450 bagi setiap tahanan sebulan telah berjaya melakukan penjimatan sebanyak RM17 juta tahun lalu dalam aspek berkenaan.

“Bagi kesalahan lain pula (yang bukan peruntukan hukuman di bawah tiga tahun), 100 yang dibebaskan, 15 berpatah balik ke penjara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya