BATU PAHAT: Fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku hingga Ahad ini bakal memburukkan keadaan banjir, khususnya di kawasan Sri Medan, Sri Gading, Ayer Hitam dan Parit Raja, dekat sini.
Pegawai Daerah Batu Pahat, Nasri Md. Ali berkata, walaupun cuaca cerah sejak empat hari lalu, namun paras air banjir dalam trend meningkat susulan fenomena air pasang besar.
“Keadaan banjir yang semakin buruk menyebabkan sebanyak 15 PPS di Sri Medan, Sri Gading, Parit Raja dan Ayer Hitam terpaksa ditutup kerana ditenggelami air. Mangsa di PPS tersebut dipindahkan ke kawasan lain yang lebih selamat.
“Belum pernah ketika banjir sebelum ini PPS ditutup. Keadaan PPS ini memberi kesan kepada pengurusan bencana di peringkat daerah kerana kita perlukan lokasi pemindahan baharu dengan segera,” katanya ketika ditemui di Kolej Kediaman Perwira Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Parit Sempadan Laut, Parit Raja, di sini.
Menurut beliau lagi, ini adalah kali pertama berlaku apabila PPS yang pada asalnya selamat untuk dijadikan penempatan sementara mangsa ditenggelami air dan bukan satu atau dua PPS tetapi 15
Nasri berkata, susulan 15 PPS yang ditutup itu, mangsa banjir kini dipindahkan ke kolej komuniti dan kolej kediaman UTHM.
“Seramai 1,000 mangsa terjejas banjir kini dipindahkan ke lokasi PPS yang baharu membabitkan Kolej Kediaman Perwira UTHM. Ini juga merupakan pelan tindakan segera yang dirangka bagi operasi penyelamatan dan penempatan PPS,” katanya.
Beliau berkata, 11 masjid dan surau di daerah ini turut dijadikan sebagai PPS bagi menempatkan mangsa banjir yang terjejas.
“Kami menjunjung kasih terhadap keprihatinan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang menitahkan supaya masjid dan surau di daerah ini dijadikan PPS.
“Terdapat 11 masjid dan surau di daerah ini diluluskan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan diperkenankan Sultan Ibrahim sebagai PPS, berikutan sejak hari pertama bah kita alami kesulitan untuk sediakan PPS segera. – UTUSAN