Ahmad Zahid harap Ab. Rauf tingkat ekonomi Melaka - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid harap Ab. Rauf tingkat ekonomi Melaka

AHMAD Zahid Hamidi ditemui pemberita pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Sekolah Izzuddin Shah di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 hari ini diharap dapat melakukan perubahan terutama meningkatkan ekonomi negeri itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini termasuk menarik pelaburan asing ke negeri itu khususnya dalam bidang industri dan pelancongan.

Beliau berkata, Ab. Rauf diharap dapat meneruskan kesinambungan usaha yang telah dilaksanakan oleh Ketua Menteri sebelum ini, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

“Sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, kami harapkan pilihan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam untuk melantik Ab. Rauf merupakan kesinambungan kepada kerja-kerja yang telah dilakukan oleh Ketua Menteri Ke-12 yang lalu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

“Saya mengharapkan Ab. Rauf bukan sahaja dapat menyambung tetapi dapat lakukan beberapa perubahan terutamanya meletakkan satu paras lagi menarik pelabur-pelabur ke negeri Melaka, khususnya dalam bidang industri dan pelancongan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Sekolah Izzuddin Shah di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Zahid berkata, beliau dimaklumkan terdapat kawasan industri yang akan dibangunkan dan berpotensi menarik pelaburan asing di Melaka yang nilainya mungkin cecah RM100 juta untuk tempoh empat tahun.

“Ini akan membawa peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi dan juga hasil yang akan dikutip oleh kerajaan negeri akan ditambah dengan usaha-usaha yang akan dilakukan oleh Ketua Menteri Melaka yang baharu ini,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Ab. Rauf mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, Seri Negeri, Ayer Keroh di Melaka petang tadi.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia dilakukan di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Dewan Seri Utama.

Ab. Rauf, 61, sebelum ini berkhidmat sebagai Pengerusi Kanan Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan Melaka dicalonkan UMNO bagi menggantikan Sulaiman yang melepaskan jawatannya berikutan masalah kesihatan.

Beliau turut menjawat jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka dan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah.

Ini merupakan kali kedua Melaka melaksanakan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November 2021. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya