Agong titah dalamkan Sungai Pahang yang saban tahun makin cetek - Utusan Malaysia

Agong titah dalamkan Sungai Pahang yang saban tahun makin cetek

AL-SULTAN ABDULLAH Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (berdiri, tengah) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Kampung Sungai Chedung di Maran, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencadangkan kerajaan melaksanakan kajian terperinci untuk mendalamkan Sungai Pahang yang semakin cetek saban tahun.

Titah Seri Paduka, Sungai Pahang dilihat semakin cetek dan mudah melimpah ke tebing sekali gus menyebabkan banjir.

Tambah baginda, program jangka pendek dan panjang perlu bagi mencari punca dan mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di negeri ini.

“Berhubung kos perlu difikirkan kemudian tetapi program mengatasi banjir dapat dilaksanakan dengan fokus dan berkesan,” titah baginda ketika mencemar duli melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Sungai Chedung yang menempatkan 250 orang mangsa banjir di sini hari ini.

Al-Sultan Abdullah juga mahu projek tebatan banjir di beberapa daerah dapat dilaksanakan dalam jangka masa tertentu bagi mengatasi banjir.

Baginda juga berharap usaha mendalamkan anak-anak sungai turut dilakukan termasuk membersihkan longkang dan parit yang tidak dikendalikan dengan baik khususnya di kawasan bandar.

Dalam pada itu baginda mengingatkan mangsa banjir di PPS supaya sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan ahli keluarga masing-masing.

Baginda tidak mahu berlaku kejadian tidak diingini dalam tempoh banjir melanda beberapa daerah di negeri ini yang bermula 28 Februari lalu.

“Saya juga nasihat kepada kaum ibu dan bapa jagalah anak-anak atau cucu supaya mereka tidak kehilangan dalam keadaan macam ini,”
titah baginda.

Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan mangsa banjir di PPS tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya