PASIR MAS: Bekas Ketua Pemuda UMNO negeri Noor Hariri Mohamed Nor atau Abe fokus memulihkan semula UMNO Pasir Mas selepas ‘diangkat’ sebagai Ketua Bahagian yang baharu pada pemilihan parti itu semalam.
Abe berkata, mandat tersebut tidak akan dipersia-siakan dan beliau akan duduk semeja dengan barisan kepimpinan di bahagian itu untuk merangka formula terbaik berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Menurutnya, PRN yang dijangka berlangsung pada Jun ini merupakan ‘ujian’ sulung buat barisan kepimpinan baharu UMNO Bahagian Pasir Mas.
“Pendekatan awal saya ialah untuk menghapuskan sifat berpuak-puak yang boleh merugikan parti. Saya mahu semua ahli di peringkat akar umbi kembali bersatu.
“Ia sangat penting bagi memastikan UMNO Bahagian Pasir Mas kembali kuat sebagaimana sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Abe memberitahu, pada masa sama dia bertekad menarik semula anak muda dan golongan perantau untuk memberikan sokongan padu kepada UMNO pada PRN dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) nanti.
Katanya, mandat yang diterjemahkan oleh perwakilan melalui sokongan padu ini jelas menunjukan mereka mahu proses rejuvenasi UMNO Pasir Mas segera dilakukan.
“Kemenangan ini adalah untuk semua ahli UMNO Bahagian Pasir Mas dan bukan bersifat kepada saya seorang sahaja.
“Kemenangan ini tidak sedikitpun mengubah pandangan hormat saya kepada tokoh-tokoh yang menawarkan diri pada pemilihan semalam,” ujarnya.
Pada pemilihan itu Abe berdepan Datuk Yahya Mamat dan penyadang jawatan itu, Datuk Abdul Ghani Haron serta Datuk Mohd. Mustaman Che Yusof.
Abe diumumkan sebagai pemenang selepas memperoleh 303 undi, Yahya (130), Abdul Ghani (122) dan Mustaman (114).-UTUSAN